KUCHING, 25 Nov: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berazam untuk tampil dengan lebih agresif terutama dalam menjalankan skop tugasan mereka pada tahun 2025.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, terdapat beberapa rombakan dalam seksyen termasuk penambahan kepada beberapa seksyen yang baharu pada tahun hadapan dalam UKAS.
Katanya, rombakan dalam seksyen UKAS tersebut bertujuan meningkatkan prestasi penyampaian informasi yang tepat dan cepat bagi mengurangkan jurang pemahaman antara Kerajaan Sarawak dengan rakyat.
“Gerak kerja kita untuk 2025 tidak seperti biasa lagi ia akan lebih rancak dan lebih agresif dalam banyak perkara.
“Saya mengarahkan supaya melakukan rombakan dalam beberapa seksyen UKAS bagi menggalakkan prestasi yang lebih cekap dan pantas,” katanya ketika berucap semasa Malam Apresiasi UKAS 2024 di Hotel Hilton di sini, malam tadi.
Pada majlis itu, seramai 14 orang warga UKAS telah diraikan atas sumbangan prestasi kerja cemerlang sepanjang tahun 2023 serta beberapa pesara yang telah banyak menyumbang kepada kejayaan UKAS.
Bagi laporan prestasi sepanjang tahun 2024, UKAS telah melakar beberapa pencapaian yang membanggakan seperti pengurusan bajet sebanyak 96 peratus, penghasilan 1,259 infografik, dan 32 sesi penstriman langsung.
Manakala dari segi pengurusan media, UKAS telah melaksanakan 463 aktiviti melibatkan media, membuktikan komitmen mereka dalam mengukuhkan hubungan strategik dengan organisasi media tempatan dan nasional. -TVS