KUCHING, 25 Nov: Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) memainkan peranan penting sebagai pemangkin dalam usaha negeri ini mencapai pembangunan komprehensif, sekaligus menjadikan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ia selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang telah digariskan oleh kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, fokus Sarawak ketika ini adalah untuk mencapai tiga elemen utama iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial, dan kelestarian alam sekitar yang menjadi teras kepada usaha merealisasikan aspirasi masa depan lebih mampan dan sejahtera.
“Strategi ini bukan sekadar tentang ketahanan ekonomi jangka panjang, tetapi juga tentang meletakkan asas untuk masa depan di mana pertumbuhan ekonomi dapat bergerak seiring dengan kelestarian alam sekitar,” kata Abang Johari.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sidang Kemuncak Hala Tuju Gas Sarawak 2024 di sebuah hotel terkemuka di Kuching pada Isnin.
Katanya, penganjuran sidang kemuncak persidangan itu juga mengesahkan komitmen kerajaan Sarawak untuk terus memajukan SGR sebagai tonggak utama dalam usaha negeri ini menuju ekonomi rendah karbon.
Abang Johari berkata Sarawak mensasarkan untuk menggandakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri kepada RM282 bilion menjelang 2030, dengan kadar pertumbuhan tahunan antara enam hingga lapan peratus.
Abang Johari juga menggariskan hasrat untuk menjadikan Sarawak sebagai peneraju dalam ekonomi hijau dan inovasi rendah karbon, dengan mengimbangi pembangunan industri dan pemeliharaan alam sekitar. -TVS