KUCHING, 25 Nov: Sarawak komited dalam usahanya mewujudkan empat tapak penyimpanan karbon menjelang tahun 2030, susulan pelantikan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai pengurus sumber Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dengan pencapaian yang signifikan dalam bidang tersebut, ia sekali gus mengangkat hasrat Sarawak sebagai pusat utama CCUS di rantau Asia Pasifik.
“Pada bulan Februari tahun ini, PETROS telah menandatangani Perjanjian Tapak Penyimpanan dengan PETRONAS melalui anak syarikatnya, CCS Ventures, dan Parti Konsortium Jepun untuk ladang yang telah habis pengeluaran M3 di luar pesisir Sarawak.
“Manakala pada Julai 2024, kami telah melancarkan Sarawak Bid Round, yang menawarkan tiga tapak penyimpanan karbon dengan anggaran kapasiti penyimpanan keseluruhan kira-kira 1,000 juta tan (MT) CO2,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) 2024 di sebuah hotel terkemuka di Kuching pada Isnin.
Usaha ini katanya selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang mengenal pasti CCUS sebagai pemacu peralihan tenaga, dijangka mencipta 200,000 peluang pekerjaan dan bernilai RM250 bilion dalam 30 tahun.
Menurut Abang Johari inisiatif ini mengukuhkan kepimpinan Sarawak dalam CCUS, membuka peluang baharu untuk kerjasama antarabangsa. -TVS