KUALA LUMPUR, 25 Nov: Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) membawa beberapa pembaharuan berbanding agenda pembangunan sebelumnya, termasuk memperluas penyertaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan sektor swasta dalam usaha memperkukuh ekonomi Bumiputera.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata antara pembaharuan utama dalam pelaksanaan dan pemantauan PuTERA35 adalah penubuhan Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera (UPAB) di setiap kementerian untuk memastikan pelaksanaan inisiatif ini dijalankan dengan lebih teliti dan efektif.
“Selain itu, kami turut memperkenalkan Dashboard PuTERA35 yang bertujuan untuk memudahkan proses pemantauan serta menilai kejayaan pelaksanaan agenda ini sehingga 2035 secara lebih teratur,” katanya ketika menjawab soalan dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang meminta penjelasan mengenai langkah-langkah kerajaan untuk memastikan kejayaan hala tuju baharu pembangunan ekonomi Bumiputera di bawah PuTERA35, sebagai kesinambungan daripada Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030).
Hanifah turut menjelaskan bahawa PuTERA35 memberi penekanan khusus kepada masyarakat Bumiputera di Sabah, Sarawak dan Orang Asli, selain memastikan manfaat agenda ini turut dapat dirasai oleh golongan minoriti bukan Bumiputera yang memerlukan bantuan.
Pelan ini bertujuan untuk memperkukuh kedudukan masyarakat Bumiputera dalam pelbagai bidang sosioekonomi dengan fokus yang lebih luas bukan hanya kepada pemilikan ekuiti sahaja.
Menjawab soalan tambahan Muhyiddin mengenai strategi untuk mencapai sasaran 15 peratus sumbangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada ekonomi negara, Hanifah berkata PuTERA35 memberi keutamaan kepada sektor-sektor yang berpotensi tinggi untuk memberikan peluang kepada Bumiputera dalam industri bernilai tinggi disokong kerajaan.
“Fokus utama adalah kepada industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV), termasuk teknologi digital, elektronik dan elektrik (E&E), pertanian moden, industri asas tani, dan industri halal,” katanya.
Beliau juga menambah bahawa sektor-sektor lain seperti kewangan Islam, logistik, pelancongan, perkhidmatan penjagaan, serta model teroka dan ekuiti persendirian turut diberi perhatian dalam pelaksanaan PuTERA35.
Hanifah turut menjelaskan bahawa PuTERA35 dilaksanakan dalam tiga fasa berbeza, dengan mengambil kira tahap kerumitan industri untuk memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat Bumiputera. – TVS