OVIEDO (Sepanyol), 25 Nov: Seorang lelaki maut pada Ahad manakala seorang lagi cedera ketika memeriksa sebuah sekolah yang rosak akibat banjir besar di Valencia baru-baru ini, lapor Agensi Anadolu.
Kejadian di sekolah di bandar Massanassa yang ditutup sejak bencana hampir sebulan lepas berlaku apabila sebahagian bumbungnya runtuh, membunuh pekerja berusia 51 tahun dan mencederakan seorang berusia 35 tahun.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan menghargai usaha semua pihak yang tanpa mengenal penat lelah terlibat dalam usaha pemulihan,” kata Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez di X, sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
“Kemalangan seperti ini tidak boleh berlaku lagi,” kata Presiden Valencia Carlos Mazon di X.
Kedua-dua mangsa bekerja untuk sebuah syarikat awam dalam usaha pembersihan besar-besaran di kawasan itu.
Hujan lebat yang memecahkan rekod di Valencia menyebabkan banjir kilat ekstrem dan mengorbankan sekurang-kurangnya 229 orang, menurut angka terkini kerajaan.
Hujan itu menyebabkan air sungai melimpah di beberapa bandar, menyebabkan kerosakan bernilai berbilion dolar pada bangunan, infrastruktur dan perniagaan. Banyak kawasan yang terjejas masih rosak dan dipenuhi lumpur.
Sementara itu, bomba dan sukarelawan, hampir 8,500 pegawai tentera dan 9,750 pegawai polis negara telah dikerahkan untuk membantu memulihkan keadaan di kawasan yang terjejas.
Sekurang-kurangnya 16,000 kanak-kanak yang terjejas akibat banjir masih belum kembali ke sekolah, menurut akhbar El Pais.
Begitu juga, hanya 365 unit rumah sosial tersedia di kawasan itu walaupun 2,147 rumah telah tidak dapat didiami.
El Pais melaporkan bahawa walaupun keadaan di kawasan yang dilanda banjir semakin pulih dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kehidupan penduduk, perkhidmatan asas dan aktiviti perniagaan masih jauh daripada normal.
Setakat ini, kerajaan Sepanyol telah mengumumkan bantuan kewangan sebanyak €14.4 bilion (US$15 bilion) untuk membantu isi rumah dan perniagaan yang terjejas.
Perdana Menteri menyifatkan banjir itu sebagai bencana alam terburuk dalam sejarah moden negara.
Sementara itu, lima orang masih hilang, dan usaha mencari terus dijalankan untuk menemukan mayat mereka. -TVS