BERLIN, 25 Nov: Jerman pada Isnin mengesahkan rancangan untuk mengadakan perbincangan antara Iran dan kumpulan troika Eropah – Perancis, Jerman, dan United Kingdom (E3) – mengenai program nuklear Tehran dan peranan serantau negara itu, lapor Agensi Anadolu (AA).
Jurucakap Kementerian Luar Jerman Christian Wagner berkata: “Saya boleh mengesahkan bahawa satu mesyuarat pada peringkat pegawai dan pengarah politik, yang antara lain membincangkan isu nuklear, sedang dirancang.”
Anda tahu terdapat banyak perkara yang menjadi kebimbangan tentang Iran. Antaranya ialah peranan serantau Iran dan penggunaan proksi oleh negara itu.”
“Sudah tentu, kebimbangan terhadap program nuklear Iran juga menjadi tumpuan. Maka, perbincangan ini adalah saluran untuk kita menjelaskan pendirian kita,” katanya pada sidang media di Berlin,
Bagaimanapun, Wagner tidak mendedahkan tarikh dan lokasi sebenar perbincangan E3-Iran itu.
Pada Ahad, Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei memaklumkan bahawa timbalan menteri luar keempat-empat negara akan bertemu pada Jumaat untuk membincangkan isu “dua hala, serantau, dan nuklear.”
Namun, beliau juga tidak menyatakan tempat pertemuan berkenaan.
Pengumuman ini dibuat beberapa hari selepas Iran mengaktifkan pengempar baharu yang canggih sebagai tindak balas terhadap resolusi yang diluluskan oleh Lembaga Gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Resolusi yang dirangka oleh Perancis, Jerman, dan UK itu, serta disokong oleh Amerika Syarikat (AS), diluluskan dalam mesyuarat lembaga di Vienna pada Khamis lepas.
Resolusi itu mengkritik Iran kerana “gagal bekerjasama sepenuhnya” dengan agensi nuklear PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan menggesa Tehran menangani kebimbangan berkaitan zarah uranium yang didakwa ditemukan di dua tapak nuklear.
Resolusi itu menerima sokongan 19 undi, sementara Rusia, China, dan Burkina Faso menentang, serta 12 ahli lain mengambil pendirian berkecuali.
Sebagai tindak balas, Iran mengaktifkan sejumlah besar pengempar canggih dan menyatakan tindakan itu bertujuan “melindungi kepentingan negara dan membangunkan lagi industri nuklear aman,” berikutan “hak dan kewajipannya di bawah Perjanjian Perlindungan Komprehensif.”
Dalam kenyataannya, Baghaei menegaskan dasar prinsip Iran yang mengutamakan “interaksi dan kerjasama dengan negara lain,” sambil menekankan bahawa perbincangan yang akan datang ini adalah “sambungan kepada perbincangan” yang diadakan di luar sidang Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York baru-baru ini.
Beliau berkata pusingan baharu perbincangan ini yang dirancang semasa Perhimpunan Agung, akan merangkumi “pelbagai isu serantau dan antarabangsa, termasuk situasi di Palestin dan Lubnan, di samping isu nuklear.”
Kerajaan baharu Iran yang diketuai oleh Presiden Masoud Pezeshkian telah berjanji untuk membuka semula saluran komunikasi dengan Barat dan mengurangkan sekatan. Namun, konflik yang berlarutan di Gaza dan Lubnan serta perkembangan berkaitan telah menghalang usaha tersebut.
Diplomasi nuklear dengan Iran terhenti semasa tempoh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat terdahulu, Donald Trump, apabila Washington menarik diri daripada perjanjian nuklear 2015 antara Iran dan enam kuasa dunia yang mengehadkan aktiviti nuklear Tehran sebagai balasan kepada pengurangan sekatan antarabangsa. – TVS