SEBUYAU, 24 Nov: Strategi menunggu lawan bertindak dan menarik kaki lawan berjaya buat peserta silat mewakili Pertubuhan Seni Silat Putih Perkasa (SHPP) Sebuyau A, Muhammad Qhabil Ayidh Abdullah, 14, menewaskan lawannya Muhammad Fahrin Yaakub dalam Pertandingan Akhir Pra Remaja Putra Kelas G, Kejohanan Silat Tanding Jemputan Piala YB Dato Sri Julaihi Narawi yang berlangsung di sini, tengah hari tadi.
Menerusi kemenangan itu, Muhammad Qhabil Ayid atau lebih mesra dengan panggilan Qhabil turut dinobatkan sebagai Peserta Silat Putra Terbaik dan turut membawa pulang piala iringan, medal dan juga sijil penyertaan.
Berkongsi perasaannya dengan TVS, Qhabil menjelaskan dirinya meminati silat sejak dari usia lapan tahun lagi dan menegaskan pelbagai manafaat dapat diperoleh dengan menyertai pertubuhan silat.
“Bagus jika kita menyertai pertubuhan silat kerana dapat mengelakkan diri dari diganggu orang atau dibuli.
“Strategi saya, saya menuggu lawan datang ke arah saya dan bertindak menarik kaki dan menjatuhkan lawan,” katanya lagi.
Lebih manis kejayaan Qhabil turut dikongsi bersama pasukannya SHPP Sebuyau A yang bergelar juara bagi kategori Usia Dini dan Tempat Kedua bagi kategori Pra-Remaja.
Sementara itu bagi kategori Pra Remaja Putri Kelas F, Arissa Qaisara Bujang, 14, dari SHPP Sebuyau A turut menewaskan lawannya Aulya Marcella Benet dari SHPP Kapit.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawam, Dato Sri Julaihi Narawi hadir menyempurnakan majlis perasmian penutupan kejohanan itu. -TVS.