Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol bersama barisan pelakon dan tenaga produksi teater Laila Majnun di Sekolah Seni Malaysia di Kuching pada Sabtu malam. Foto Pusat Khidmat ADUN Semop

Seni berperanan membentuk masyarakat progresif

KUCHING, 24 Nov: Kerajaan Sarawak tidak mengabai peranan seni kebudayaan dalam usaha membina masyarakat berbilang kaum dan budaya yang progresif.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata ini terbukti dengan kesanggupan kerajaan Sarawak menggunakan peruntukan sendiri membina sebuah pusat kesenian bernilai lebih RM100 juta untuk merancakkan lagi aktiviti seni.

Datuk Abdullah Saidol diberi penerangan mengenai teater Laila Majnun ketika hadir menyaksikan pementasan teeater tersebut di Sekolah Seni Malaysia di Kuching pada Sabtu malam. Foto Saibi Gi (TVS)

“Sarawak sejak dulu memang dikenali dengan kejayaan dan kemampuan mengetengahkan pelbagai hasil persembahan budaya yang unik dan cantik.

“Sebab itu Sarawak antara negeri terawal dibina Sekolah Seni Malaysia,” katanya ditemui media ketika hadir menonton persembahan teater Laila Majnun di Sekolah Seni Malaysia di sini pada malam Sabtu.

Beliau berkata pelbagai cabang seni atau teater mampu membentuk kepekaan tentang nilai kemanusiaan, membina keyakinan dan jati diri yang murni terutama dalam kalangan warga muda.

Beliau turut memuji usaha anak-anak muda yang berani mengetengahkan karya teater yang berkualiti, sambil memberi galakan agar lebih banyak inisiatif seperti ini diteruskan.

“Saya amat mengagumi semangat anak-anak muda kita yang menghidupkan seni teater.

“Usaha mereka patut dipuji kerana mereka bukan hanya melestarikan seni, tetapi juga memainkan peranan penting dalam memupuk rasa cinta terhadap budaya kita,” ujarnya.

Sebagai seorang yang meminati seni teater, Abdullah berharap lebih banyak program sebegini dapat dianjurkan di masa hadapan bagi memberi peluang kepada bakat-bakat muda untuk berkembang dan memperkenalkan karya seni yang bernilai kepada masyarakat.

Mengenai Laila Majnun, ia adalah sebuah teater muzikal yang menggamit emosi karya Zulfadly Kipli dipentaskan pada 23 dan 24 November.

Teater muzikal ini mengisahkan tentang cinta abadi yang penuh dengan tekanan dan halangan antara Laila lakonan Haneem Muhammad dan Qaish (Heizlan Khan).

Sebuah kisah cinta yang menyayat hati sehingga salah seorang daripada mereka menjadi sakit asmara dan dituduh menjadi gila.

Ia memaparkan barisan gabungan pelakon lama dan baru di Sarawak.

Antara pelakon-pelakon tersebut adalah Heizlan Khan, Haneem Muhammad, Hasanah Hashim, Hazis Wahab dan Haslina Hasbi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan