LAWAS,24 Nov: Sarawak memerlukan ramai tenaga kerja mahir untuk mengisi dan menerokai sektor industri berteknologi tinggi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Sarawak mula menerokai dalam sektor teknologi aeroangkasa(space) setelah berjaya menerokai teknologi digital, tenaga hijau dan kecerdasan buatan atau AI.
Kata beliau, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menjadikan Sarawak sebagai hab dalam industri aeroangkasa.
“Sarawak bukan saja menuju digital ekonomi, ekonomi baharu, dan teknologi hijau tetapi menerokai aeroangkasa.
“Kerajaan Persekutuan juga bersetuju menjadikan Sarawak sebagai hab kepada perkembangan industri aeroangkasa yang memerlukan pekerja mahir,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Bengkel Kecemerlangan SPM dan Kem Karnival STEM anjuran SABATI Tahun 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sundar Lawas hari ini.
Hadir sama Timbalan Presiden Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-isteri (SABATI) Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa dan Pegawai Pendidikan Daerah Lawas, Pengiran Abdul Kadir Pengiran Budin.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak mahu pelajar anak Sarawak memberi tumpuan kepada pendidikan Sains, Teknologi dan Kejuruteraan(STEM) dan TVET.
“Selain itu penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa teknologi dan komersial juga perlu diberi penekanan.
“Malah, asas kepada semua kejayaan ini adalah berteraskan kepada kestabilan politik dan perpaduan rakyat Sarawak yang pelbagai latar belakang,” ujarnya. -TVS.