KUCHING, 24 NOV: Kerajaan Sarawak akan membina pelabuhan laut dalam dengan reklamasi pulau untuk meningkatkan keupayaan logistik, perdagangan, dan daya saing ekonomi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata meskipun perairan Kuching cetek, namun solusi bagi situasi itu telah ditemui untuk merealisasikan projek tersebut.
“Kita akan membina pelabuhan laut dalam di Kuching, pelabuhan ini akan menjadi pelabuhan yang lain daripada yang lain. Di mana pelabuhan ini akan menjadi pelabuhan pintar,” kata Abang Johari ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan Institusi Jurutera Malaysia (IEM) Sarawak 2024 di sini, malam ini.
Pelabuhan laut dalam itu dijangka menjadi pemangkin utama kepada pembangunan sektor perindustrian, eksport, dan pelaburan.
Menurut Abang Johari, pelabuhan tersebut juga akan menghubungkan Sarawak dengan laluan perdagangan antarabangsa serta meningkatkan daya saing ekonomi negeri.
“Oleh yang demikian kita memerlukan lebih ramai jurutera hidraulik yang mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan hidraulik terutamanya dalam sistem air dan juga mempunyai keupayaan untuk membuat pulau.
“Ini adalah projek mega kerana ia turut melibatkan terminal gas,” kata Abang Johari lagi.
Pada majlis yang bertemakan “Membina Ketahanan Melalui Tindakan Iklim” itu telah dihadiri lebih 1,400 jurutera profesional dari pelbagai sektor yang menekankan peranan mereka dalam memacu pembangunan mampan dan menangani cabaran perubahan iklim global.
Ends