BINTULU, 24 Nov: Saintis Itali berminat untuk menjalankan kajian mengenai Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Perkara itu dimaklumkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Majlis Tautan Kasih Gedong Permulaan Kami (GPK).
“Semalam saintis dari Itali datang dan memberitahu untuk membuat kajian tentang PCDS 2030. Saya pun tidak sangka ada saintis yang berminat mengkaji dasar kita ini.
“Jadi kita maklumkan kepada mereka mengenai kemajuan Sarawak dalam masa lima tahun iaitu dari sudut pembangunan perhubungan termasuk di sini (Bintulu) iaitu Jambatan Jepak yang menyerupai Jambatan Golden Gate di San Fransisco,” katanya ketika berucap pada Majlis Tautan Kasih Gedong Permulaan Kami (GPK) 2024, anjuran GPK Bintulu di sini, hari ini.
Pada masa sama, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak juga akan terus membangunkan kawasan Jepak.
“Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Khamis lepas kita telah meluluskan dual carriageway dari jambatan ini terus ke lapangan terbang. Ini bermakna Jepak bukan lagi kampung kerana Jepak sudah membangun,” ujarnya.
Sebelum ini Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Jambatan Bintulu -Jepak yang merentangi Sungai Kemena dijangka siap Februari tahun hadapan.
Jambatan sepanjang 1.2 kilometer itu dijangka memudahkan pergerakan orang awam dari pusat bandar ke Jepak seterusnya ke Lapangan Terbang Bintulu dan kawasan berdekatan.-TVS