MATU, 24 Nov: Penganjuran Pesta Matu memberi peluang kepada anak tempatan untuk menyerlahkan bakat sekali gus menyediakan platform kepada mereka menunjukkan kebolehan dalam pelbagai bidang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, walaupun diadakan dalam skala kecil namun, aktiviti yang diadakan bukan sahaja memberi pendedahan kepada bakat baru, tetapi juga meningkatkan keyakinan diri peserta, terutamanya golongan muda.
Selain itu katanya, pesta juga boleh menjadi acara yang menggalakkan perpaduan dalam masyarakat apabila menjadi medan untuk berkumpul dan menyokong anak-anak tempatan dalam usaha mereka.
“Sebab itulah, saya minta pesta tahun ini diadakan dalam skala yang berbeza daripada biasa, menggunakan bajet yang sedia ada, agar kita dapat mencungkil bakat –bakat baru.
“Alhamdulillah, sebagaimana yang kita jangkakan, walaupun kita buat seperti ini (skala kecil), sambutannya cukup luar biasa,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Pesta Matu 2024 hari ini.
Menurut Juanda, Pesta Matu bukan sekadar acara tahunan sebaliknya satu platform penting untuk memperkenalkan keunikan Daerah Matu kepada dunia luar selain memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat.
Malah ujarnya, acara itu juga menjadi jambatan yang menghubungkan usahawan tempatan dengan peluang perniagaan yang lebih luas selain platform agensi kerajaan dan sektor swasta memberi maklumat yang bermanfaat, khususnya kepada usahawan kecil yang berpotensi untuk berkembang.
“Kalau ikut proses program rasmi biasa, kita cari mereka yang pakar dari luar untuk menjalankannya, tetapi sebaliknya pesta kali ini, kita mahu ia menjadi medan untuk mencungkil bakat sama ada pegawai kerajaan, ketua masyarakat, anak muda kampung atau sesiapa sahaja.
“Kita mahu mereka merasakan Pesta Matu adalah pesta kita semua,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan penganjuran acara itu diadakan sebanyak dua kali tahun depan bagi memberi lebih banyak peluang penyertaan kepada komuniti setempat. -TVS