BINTANGOR, 24 Nov: Penjenamaan semula Pesta Meradong memberi nafas baharu kepada acara keramaian itu sekali gus melonjakkan potensi daerah berkenaan dalam pelbagai sudut termasuk sosial dan ekonomi.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abdul Wahab berkata, keputusan untuk menjenamakan semula pesta dipersetujui oleh jawatankuasa induk dan mendapat perkenan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).
Menurutnya, wajah baharu pesta itu memberikan persepsi yang baik terhadap imej Meradong dan menyerlahkan keunikannya di mata pengunjung.
“Saya percaya penganjuran Pesta Meradong mempunyai pelbagai objektif dengan nilai tersendiri. Yang pasti, dapat menyatupadukan masyarakat melalui pengisian program pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi.
“Pesta ini berupaya mewujudkan suasana harmoni dengan menggalak kerjasama dan mengeratkan hubungan mesra dalam kalangan masyarakat berbilang kaum,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Meradong 2024, di sini, semalam.
Beliau berkata, penglibatan pelbagai pihak termasuk kelab atau persatuan tempatan secara tidak langsung membantu kejayaan acara terbesar itu melalui perancangan dan penganjuran program yang berteraskan kemasyarakatan.
Pada masa sama, ia berupaya meningkatkan sosio ekonomi pertanian apabila melibatkan penyertaan masyarakat tani dalam kegiatan mempromosikan produk pertanian dan hiliran.
“Bagi saya, ia bukan sekadar pesta sebaliknya menjadi platform penting kepada penduduk untuk menjana pendapatan kerana kita sedia maklum Meradong sememangnya terkenal dengan pengeluaran hasil makanan dan pertanian.
“Kehadiran pengunjung dalam dan luar secara tidak langsung membantu meningkatkan ekonomi penduduk khususnya peniaga kecil,” ujarnya. – TVS