KUCHING, 24 Nov: Pendidikan di Sarawak akan menjadi faktor utama dalam memastikan negeri ini mencapai status negeri maju pada masa depan.
Mantan Pengarah Pendidikan Sarawak, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, perubahan dan pembangunan di Sarawak akan terus berdaya saing dengan mempersiapkan generasi muda melalui pendidikan berkualiti.
“Apa juga kemajuan yang ingin kita capai, satu sahaja mekanismenya, melalui pendidikan, kita perlu memastikan generasi muda di Sarawak mendapat pendidikan baik agar mereka dapat mengisi agenda pembangunan yang bakal berlaku di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, Sarawak yang mempunyai cita-cita besar untuk menjadi negeri maju perlu lebih menekankan pendidikan sebagai asas pembangunan modal insan yang kompetitif.
Beralih kepada sektor aeroangkasa, Dr Azhar menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif kerajaan yang memperkenalkan bidang ini sebagai peluang masa depan untuk anak-anak Sarawak.
Beliau menyifatkan bidang tersebut adalah langkah yang sangat relevan dalam era digital dan teknologi masa kini.
Menurutnya, beliau optimis dengan kemajuan teknologi, tidak mustahil bagi anak Sarawak mencipta inovasi dalam bidang aeroangkasa bahkan mampu melahirkan angkasawan Sarawak pertama.
“Satu masa nanti, kita mungkin akan melihat lebih ramai anak Sarawak yang berani menghadapi cabaran dan berkemampuan untuk menguasai teknologi ini, bukan hanya sebagai pengguna tetapi sebagai pencipta,” ujarnya.
Dengan sokongan kepada bidang pendidikan dan aeroangkasa, Dr Azhar percaya Sarawak berada di landasan yang betul untuk melahirkan generasi masa depan yang bukan sahaja berkemahiran tinggi tetapi juga mampu bersaing di peringkat global.-TVS