KUCHING, 24 Nov: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sedang merancang untuk melaksanakan projek pembangunan Esplanade Buntal melalui inisiatif yang dikenali sebagai Medan Niaga Kampung Buntal.
Timbalan Menteri Ultiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, projek ini bertujuan memperkasa sosioekonomi masyarakat setempat dengan memberi peluang kepada penduduk untuk terlibat secara langsung dalam pembangunan kawasan mereka.
“Dewan Bandaraya Kuching Utara ingin membangunkan kawasan Esplanad Buntal dengan menjalankan projek pembangunan yang dikenali sebagai Medan Niaga Kampung Buntal.
“Jadi ini antara pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di seluruh kawasan kita di Pantai Damai khasnya kita di Kampung Buntal yang bertujuan untuk meningkatkan aktiviti pendapatan sereta sosio ekonomi masyarakat,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Pantai Damai menegaskan kepentingan penglibatan masyarakat kampung dalam menjayakan projek ini.
Katanya, penduduk digalak mengambil bahagian dalam pelbagai aspek pembangunan yang dirancang untuk kepentingan bersama.
“Jadi kepada masyarakat dan orang kampung, sila libatkan diri dengan projek pembangunan ini. Kita mahu masyarakat kampung bersama-sama untuk mereka mengambil bahagian dalam semua aspek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Ini kerana ia dapat memberi manfaat kepada masyarakat kita secara keseluruhan. Jadi ini antara perancangan yang (akan) dan (sedang) berlaku di kampung ini yang akan merancakkan ekonomi penduduk setempat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Karnival Gemilang Damai Siri Lima di Buntal Esplanade, Kuching pada Ahad.
Karnival yang berlangsung selama dua hari iaitu 23 dan 24 November menyaksikan pelbagai pengisian dan aktiviti menarik yang telah diadakan untuk komuniti setempat.
Antaranya, pertandingan karaoke, memancing, memasak, dart, karom, mewarna, bola tampar pantai, sukaneka, gerai jualan dan cabutan bertuah.– TVS