SRI AMAN, 24 Nov: Kesatuan Guru Sarawak (STU) merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas pemberian bantuan kewangan sebanyak RM700 kepada penjawat awam persekutuan.
Presiden STU, Kullin Djayang berkata, ini menunjukkan kerajaan sentiasa menghargai semua penjawat awam di negeri ini.
“Selain itu, STU juga amat menghargai pemberian RM1,200 sebagai insentif kepada semua pelajar kelahiran sarawak yang belajar di seluruh IPT di negara tanpa mengira pendapatan keluarga.
“Ini sewajar dilakukan dan perlu dikekalkan setiap tahun kerana pelajar- pelajar ini adalah aset yang sangat penting sebagai kesinambungan negeri ini pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Wakil Sekolah anjuran STU Bahagian Sri Aman hari ini.
Katanya, pihaknya juga melihat pemberian elaun khas mengikut gred untuk penjawat awam Sarawak itu adalah sesuatu yang amat baik.
“Namun jika elaun khas itu diperluaskan kepada semua penjawat awam yang memegang kad pengenalan ‘K’ adalah lebih praktikal.
“Ini kerana semua penjawat awam Sarawak yang berada di seluruh negara juga menyumbang kepada pembentukan kerajaan ini semasa PRN diadakan,” ujarnya.
STU katanya juga memohon Kerajaan Sarawak untuk memberikan insentif kepada pesara kerajaan kelahiran Sarawak.
“Ini kerana mereka juga telah berbakti kepada negeri ini dan masih lagi menyumbang kepada pembentukan kerajaan dalam PRN.
“Setiap jasa dan sumbangan warga Sarawak wajar diberikan insentif yang adil sebagai penghargaan kepada penjawat awam yang telah menyumbang bakti kepada kerajaan ini sehingga menjadi sebuah negeri yang berpendapatan tinggi seperti yang ada sekarang,” jelasnya.-TVS