Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang merasmikan Program Gerakan Kelestarian Komoditi Getah di Kompleks Pertubuhan Peladang Sarawak di Kota Samarahan, hari ini. Foto TVS

Kerajaan belanja RM27.18 juta elak kebun getah dari terbiar – Rubiah

KOTA SAMARAHAN, 24 Nov: Kerajaan membelanjakan sejumlah RM27.18 juta untuk memastikan pekebun kecil getah terus mengusahakan semula ladang getah mereka yang terbiar sebelum ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, menerusi kempen Gerakan Kelestarian Tanaman getah, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan mengarahkan anak syarikatnya untuk mengambil alih kebun getah sekiranya pemilik kebun tersebut masih kurang berminat untuk mengusahakan tanaman terbabit.

“Pemilik kebun ini akan mendapat pendapatan dalam bentuk dividen hasil jualan getah dari kebun berkenaan kerana ia merupakan satu kerugian yang amat besar kepada negara apabila kebanyakan ladang-ladang atau kebun getah ini tidak ditoreh ataupun tidak mengeluarkan hasil sedangkan pokok getah itu ada di situ tapi tak mengeluarkan sebarang hasil.

“Maka sebab itulah satu inisiatif baharu diperkenalkan oleh RISDA dengan mengadakan kempen kelestarian tanaman getah ini dalam usaha kita memastikan kawasan-kawasan terbiar ini, ladang terbiar ini diusahakan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Gerakan Kelestarian Komoditi Getah di Kompleks Pertubuhan Peladang Sarawak di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, ketika ini pelaksanaan program pemulihan kelestarian tanaman getah oleh RISDA itu hanya membabitkan tiga bahagian iaitu Bahagian Samarahan, Serian dan Betong.

Katanya, menerusi dapatan daripada kajian RISDA, antara punca kurangnya minat untuk mengusahakan tanaman getah adalah disebabkan harga komoditi itu yang jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan komoditi lain seperti kelapa sawit dan lada.

Justeru kerajaan ujar beliau, telah mengambil inisiatif dengan memberikan subsidi harga kepada harga getah berkenaan sebagai galakkan untuk pekebun-pekebun kecil getah terus mengusahakan kebun mereka yang boleh dituntut melalui agensi seperti RISDA dan Lembaga Getah Negara (LGN).

Dalam pada itu, katanya, RISDA menyediakan bantuan berjumlah RM14,805 bagi setiap satu hektar bagi pekebun kecil mahu melaksanakan program penanaman semula tanaman itu di Sarawak.

“Bantuan ini tidak diberikan secara sekali gus sebaliknya ia diberikan secara berfasa kepada pekebun kecil getah mengikut peringkat penanaman semula tanaman getah tersebut, kalau kita berikan sekali gus secara dasarnya ia akan tidak mencapai sasaran yang kita inginkan.

“Maka sebab itulah RISDA mempunyai cara tersendiri yang mana peruntukan berjumlah RM14,805 sehektar ini kita salur mengikut fasa- fasa dari peringkat awal meliputi penyediaan anak benih, pembajaan, penyeliaan ladang getah itu sehinggalah ia mengeluarkan hasil,” katanya.

Rubiah berkata, untuk tahun ini, kawasan seluas 2,670 hektar di Sarawak telah ditanam semula dengan tanaman getah.

“Keluasan itu merupakan sebahagian daripada sasaran 20,000 hektar kawasan di seluruh negara untuk ditanam semula dengan tanaman berkenaan.

“Malah Sarawak, boleh menjadi fokus utama kepada usaha tersebut memandang wilayah ini memiliki jumlah keluasan tanah yang besar dan sesuai untuk tanaman tersebut. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan