SEBUYAU, 24 Nov: Kejayaan penganjuran Kejohanan Silat Tanding Jemputan, Piala YB Dato Sri Julaihi Narawi edisi pertama mendorong Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak itu untuk terus menganjurkan kejohanan sama secara tahunan bermula tahun hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu menjelaskan sambutan menggalakkan yang diterima dari penyertaan 288 peserta silat remaja di seluruh Sarawak membuktikan laluan ke Sebuyau dapat diakses menerusi jalan raya.
Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada penganjur, Pertubuhan Seni Silat Helang Putih, Perkasa Sebuyau dengan kerjasama Pejabat Daerah Sebuyau dan Rumput Silat Sarawak (RSS) selain menyatakan komitmen beliau untuk menganjurkan kejohanan sukan ini di masa akan datang.
“Saya percaya dengan adanya program seumpama ini, kita dapat membina hubungan persahabatan dari kalangan rakan silat yang berada di Sebuyau.
“Oleh kerana program ini telah berjaya, untuk tahun depan, saya boleh memberikan peruntukan kepada Pertubuhan Seni Silat Helang Putih, Perkasa Sebuyau menerusi geran MRP 2025 berjumlah RM30,000 untuk menjalankan kejohanan yang sama,” katanya ketika berucap di Majlis Penutupan Kejohanan Silat Tanding Jemputan di Dewan Pembangunan Sebuyau pada Ahad.
Pertubuhan Seni Silat Helang Putih Perkasa (SHPP) Sebuyau A muncul juara bagi kategori Usia Dini dengan memenangi enam pingat emas, dua perak dan empat gangsa diikuti oleh SHPP Kuching dengan lima pingat emas dan tiga gangsa manakala Pertubuhan Gerak Silat Bayang Miri merangkul tempat ketiga dengan tiga emas dan dua gangsa.
Bagi kategori pra remaja pula, SHPP Sarikei muncul juara dengan enam emas, tiga perak dan satu gangsa diikuti SHPP Sebuyau A dengan empat emas, dua perak dan dua gangsa manakala SHPP Belaga menduduki tempat ketiga dengan dua emas, satu perak dan tiga gangsa.
Juara membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, Piala YB, piala iringan, medal dan sijil, tempat kedua wang tunai RM5,000, piala iringan, medal dan sijil manakala tempat ketiga, wang tunai RM3,000, piala iringan, medal dan sijil.
Hadir sama Guru Utama, Pertubuhan Seni Silat Helang Putih Perkasa (SHPP) Sarawak, Muhd Hanef Ali, Presiden SHPP, Dato Mohd Yusnar Matalie dan Ketua Bahagian Pembangunan Perbadanan Sukan Sarawak, Delia Sarini Ahmad-TVS