KUCHING, 24 Nov: Program “Kids Take Over Media” anjuran bersama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan TVS mampu menjadi platform kanak-kanak menyelami dunia penyiaran sekali gus memupuk minat mereka terhadap industri itu.
Pegawai Piawaian Sosial Unicef Malaysia, Yong Li Na berkata, program yang dianjurkan ini merupakan projek rintis untuk UNICEF dan berharap ia akan dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Saya rasa program ini bukan saja bermakna untuk kanak-kanak dalam memberi mereka pendedahan kepada bidang media tetapi juga untuk menunjukkan kepada Sarawak dan juga Malaysia di seluruh rantau bahawa suara kanak-kanak adalah matang dan cukup berpengetahuan.
“Ia sekali gus memberitahu kita sebagai orang dewasa apa yang mereka mahu, bagaimana mereka boleh menyumbang kepada pembangunan negara di Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan program “Kids Take Over Media” di Studio TVS hari ini.
Peserta, Syasya Husna, 15, memberitahu dia sangat teruja kerana pertama kali dapat menyertai program sebegini dan berharap ia akan dapat diteruskan.
“Saya rasa program sebegini dapat membantu memberitahu kepada masyarakat tentang betapa pentingnya peranan kanak-kanak dalam kehidupan harian sosial.
“Melalui program ini juga saya dapat mewakili kanak-kanak yang lain untuk merasai pengalaman sebegini,” katanya.

Amy Lo Yen Xi, 12, berasa sangat bertuah kerana dapat menemu bual sendiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dalam program yang dikendalikannya.
“Untuk program hari ini saya menemu bual tetamu kehormat iaitu Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian secara empat mata dan ia merupakan pengalaman pertama dan berharga untuk saya kerana dapat berjumpa secara langsung dengan salah seorang pemimpin Sarawak.
“Secara jujurnya, adakah boleh sesiapa yang pergi untuk menemu bual tetamu kehormat, tidak ada bukan? Jadi saya secara peribadi merasakan bahawa hari ini adalah hari yang sangat bermakna dan program yang bermakna untuk saya,” katanya. – TVS