BINTULU, 24 Nov: Jasad remaja lelaki yang lemas ketika mandi laut di Pantai Batu Mandi di sini, petang semalam, ditemui hari ini.
Komander Operasi, Fabian Andy Jese berkata, jasad Valentino Austin Richie,18 ditemui anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada jam 9.15 pagi.
“Jasad berkenaan dijumpai dengan jarak 1.5 kilometer dari lokasi Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKOB).
“Pasukan Bomba bergerak ke jeti Bintulu bantuan mengambil mangsa daripada pihak Polis Marin untuk diserahkan kepada pihak polis Bintulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak polis telah mengesahkan identiti jasad mangsa.
Dalam kejadian semalam, pihak bomba menerima panggilan berhubung kes itu jam 6.10 petang dengan menggerakkan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong ke lokasi kejadian.
Mangsa dikenali Valentino Austin Richie,18 beralamat Rumah Sewa Amoi, Bintulu lemas semasa menjalankan aktiviti mandi laut.-TVS