KUCHING, 24 Nov: Masyarakat pada masa kini digalakkan untuk menggunakan beg kitar semula semasa melakukan aktiviti beli- belah sama ada di pasaraya besar atau kedai runcit.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, para peniaga dan penjaja juga perlu memainkan peranan mereka dalam menjayakan inisiatif hijau sebagai usaha mengurangkan penggunaan beg plastik.
Katanya, pendekatan tersebut perlu diambil supaya dapat memberi kesedaran mengenai inisiatif hijau yang telah diusahakan oleh pihak kerajaan selama ini dalam menjamin kelestarian alam sekitar.
“Kita minta kerjasama daripada pengusaha-pengusaha sama ada di semua pasaraya, kedai-kedai dan sebagainya menggunakan beg yang boleh dikitar semula dan kurangkan penggunaan bahan-bahan plastik.
“Jadi dengan cara demikian mungkin kita dapat membantu meningkatkan kebersihan alam sekitar,” katanya ketika berucap di Karnival Kesihatan dan Kelestarian Alam Sekitar di Eco Mall di Kuching pada Ahad.
Karnival Kesihatan dan Kelestarian Alam Sekitar telah berlangsung selama tiga hari bermula 22 hingga 24 November 2024.
Karnival tersebut merupakan gabungan program bahagian Kesihatan Persekitaran iaitu Program Jom Sihat, Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran dan Advokasi Pengurusan Sistem Alam Sekitar dan Pengurusan Tenaga yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kesihatan diri dan alam sekitar. -TVS.