KUALA LUMPUR, 24 Nov: Festival Anak Sarawak dan Temasya Kueh Malaysia yang berlangsung di Muzium Negara hari ini menjadi simbol kepada usaha memperkukuh perpaduan serta meraikan kepelbagaian budaya di Malaysia.
Festival yang dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang itu menekankan warisan budaya adalah elemen penting dalam penyatuan rakyat berbilang kaum.
Menurut Aaron, penganjuran festival seperti itu bukan sahaja memperlihatkan keindahan seni dan budaya tetapi juga menyemai semangat keharmonian yang menjadi tunjang perpaduan negara.
“Acara seperti ini adalah bukti bagaimana budaya dan tradisi boleh menyatukan masyarakat. Perpaduan bukan sekadar kata-kata tetapi lahir melalui penghayatan dan penghormatan terhadap kepelbagaian etnik,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian.
Festival tersebut menampilkan pelbagai aktiviti termasuk persembahan tarian tradisional seperti ngajat, pameran seni ukiran dan pertunjukan muzik menggunakan sape.
Pengunjung juga berpeluang mencuba pelbagai jenis kuih tradisional yang disediakan oleh komuniti Sarawak.
Sebagai negeri terbesar di Malaysia, Sarawak sememangnya terkenal dengan kekayaan budaya dan tradisi.
Antara yang menjadi perhatian dalam festival tersebut ialah seni muzik sape, perayaan Gawai Dayak dan demonstrasi pembuatan kuih tradisional.
Aktiviti tersebut bukan sahaja memupuk kefahaman antara kaum tetapi turut menarik perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa.
Aaron turut berkongsi dapatan Kajian Pembangunan Model Kesepaduan Sosial Sabah dan Sarawak yang menunjukkan tahap perpaduan sosial di kedua-dua negeri berada pada tahap tinggi.
Kajian tersebut menekankan pentingnya nilai rasa kekitaan, keterangkuman dan keterbukaan dalam memastikan hubungan erat antara masyarakat pelbagai latar belakang.
“Malaysia adalah contoh bagaimana perpaduan dapat dicapai walaupun dalam kepelbagaian. Ini bukan sesuatu yang datang secara semula jadi tetapi hasil usaha dan komitmen kita bersama,” ujarnya.
Festival tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran pelbagai kaum yang menyertai aktiviti seperti konsert anak muda, pameran seni dan permainan tradisional.
Pengunjung melahirkan rasa kagum terhadap usaha menganjurkan acara yang memperkukuh hubungan antara masyarakat.
Dengan sokongan pelbagai pihak termasuk Persatuan Kepimpinan Perintis Anak Sarawak dan Jabatan Muzium Malaysia, Festival Anak Sarawak diharap dapat menjadi acara tahunan yang mengukuhkan lagi nilai perpaduan di negara ini.
“Perpaduan adalah kekuatan kita,” kata Aaron mengakhiri ucapannya dengan seruan untuk terus menghormati dan menghargai kepelbagaian budaya di Malaysia. -TVS