KUCHING, 24 Nov: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bekerjasama dalam satu pelan strategik bagi tempoh tiga tahun sebagai usaha menurunkan pengeluaran karbon di bandaraya Kuching.
Datuk Bandar DBKU, Dato Hilmy Othman berkata, kerjasama itu berperanan sebagai panduan dalam merealisasikan bandaraya rendah karbon seiring dengan hala tuju Kerajaan Sarawak dalam memacu pembangunan mampan menjelang 2030.
“Pihak DBKU telah berganding bahu dengan pihak UNIMAS untuk membuat satu plan rangka untuk menjayakan
aktiviti-aktiviti yang akan menjamin kelestarian bandaraya kita ini dengan memterai satu perjanjian.
“Ia untuk menjalankan satu plan strategik untuk tiga tahun yang akan datang untuk menangani pelepasan rendah karbon iaitu ingin menurunkan pengeluaran karbon dalam alam sekitar kita dalam operasi-operasi kita setiap hari,” katanya ketika berucap di Karnival Kesihatan dan Kelestarian Alam Sekitar di Eco Mall di Kuching pada Ahad.
Tambah beliau, usaha tersebut adalah landasan untuk mencari penyelesaian kepada perubahan iklim yang sedang dihadapi oleh seluruh dunia pada masa ini selari dengan perbandaran yang semakin pesat.
Justeru, pihaknya menyeru masyarakat bekerjasama dalam usaha bertindak dengan lebih berkesan dan transformatif demi mencapai kejayaan menangani perubahan iklim. -TVS