LIMBANG, 23 Nov: Menjalani latihan intensif termasuk powerlifting seberat 500 kilogram antara persediaan rapi Pasukan 69 Komando Pasukan Gerakan Khas, demi memburu mahkota kejuaraan pada Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa di Limbang.
Selain latihan intensif, pasukan dari Selangor itu juga sanggup berhabis hampir RM15, 000 untuk kos perbelanjaan penerbangan, makan dan minum serta penginapan di Limbang semata-mata ingin berentap pada kejohanan itu yang disertai buat pertama kali.
Jurulatih pasukan, Mohd Hasham Redzuan berkata, latihan keras dengan mengangkat pelbagai besi seberat 400 hingga 500 kilogram selain berlari dan latihan membina stamina dan kekuatan keseluruhan tubuh diikuti ahli pasukan.
Katanya, Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa di Limbang juga merupakan satu-satunya pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan di negara ini iaitu bernilai RM79,000 selain merebut Piala Premier Sarawak.
“Ini adalah satu-satunya kejohanan dalam Malaysia yang menawarkan hadiah begitu besar iaitu RM20, 000 untuk juara.
“Di kejohanan antarabangsa lain, pasukan kita juga pernah menang Kejohanan Antarabangsa di Kuala Lumpur yang menawarkan hadiah juara RM15, 000 sahaja dan pasukan kami juga pernah mewakili Malaysia mewakili Polis Malaysia ke luar negara,” katanya ketika ditemui media pada Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa Limbang, di Kompleks Sukan Limbang hari ini.
Bagi Jurulatih Pasukan Apache Wilayah Persekutuan Labuan Aswadie Ahok, 51 tahun, kejohanan yang diadakan sejak 17 tahun lepas merupakan acara wajib yang disertai pasukannya dalam memartabatkan sukan tarik tali di Borneo.
Aswadie yang juga Presiden Persatuan Tarik Tali Wilayah Persekutuan Labuan berkata, pihaknya tidak pernah tercicir daripada menyertai acara itu sejak diadakan 2007 kerana minat mendalam dalam sukan tarik tali yang sinonim di bahagian Limbang.
“Pasukan Apache Labuan mengikuti kejohanan ini sejak dari mula diperkenalkan dan dibuka kepada antarabangsa, kami memang tidak pernah ketinggalan menyertai kejohanan ini dalam untuk memperkenalkan sukan tarik tali ke peringkat tinggi,” ujarnya.
Aswadie turut berharap agar gelanggang sukan tarik tali dapat dibina di Limbang sebagai pusat utama penganjuran kejohanan berprestij itu pada masa akan datang selain sukan tarik tali dijadikan sukan teras dipertandingkan di Malaysia dan seterusnya Sukan Sea.
Ll
Bagi pasukan Chainblock Muay Thai dari Brunei Darussalam Mohd Kadir Abdullah, beliau dan pasukannya amat teruja untuk mempamer kekuatan sekali gus muncul juara pada edisi kali ini.
Mohd Kadir juga menyifatkan Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa Limbang satu kejohanan yang luar biasa kerana menawarkan hadiah lumayan selain disertai pasukan-pasukan dari Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Semenanjung Malaysia.
Kejohanan yang dianjurkan oleh Presiden Persatuan Tarik Tali Bahagian Limbang (PTTBL) merupakan cetusan ilham Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail yang pertama kali diadakan pada 2007.
Sebanyak 52 pasukan bertanding pada Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa dari Sabah, Sarawak, Brunei, Wilayah Persekutuan Labuan dan Semenanjung Malaysia.-TVS