TANJUNG MANIS, 24 Nov: Seramai 34 pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang menyertai program keluarga angkat diraikan dalam Majlis Makan Malam di Dewan Masyarakat Belawai, malam ini.
Majlis diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.
Terdahulu, kesemua pelajar itu menyertai program anak angkat di Kampung Belawai, Jerijeh dan Rajang.
Sehubungan itu, Len Talif yang juga ADUN Kuala Rajang berkata, program mampu mendekatkan pelajar dengan kehidupan masyarakat luar bandar dan memberi mereka pengalaman secara langsung tentang budaya, nilai serta cabaran yang dihadapi komuniti desa.
“Sudah pasti, ia memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak, pelajar menimba lmu dan pengalaman, manakala masyarakat kampung pula mendapat bantuan dan pendedahan kepada dunia luar.
“Justeru kita amat nengalu-alukan kehadiran semua pelajar, semoga kenangan manis bersama keluarga angkat di sini, terpahat di hati mereka selama-lamanya,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua program, Profesor Awangko Hamdan Pengiran Arshad berkata, program selama tiga hari itu bertujuan memberikan pengalaman berharga kepada pelajar, sekali gus merapatkan hubungan dengan komuniti setempat
“Pelajar tidak hanya berpeluang mendalami budaya dan gaya hidup komuniti setempat, tetapi juga berinteraksi secara langsung dengan keluarga angkat masing-masing.
“Saya berharap peserta dapat memperluaskan perspektif mereka melalui pertukaran pandangan budaya, gaya hidup dan lain lain lagi,” katanya.