SERIAN, 22 Nov: Kedudukan Bahagian Serian dianggap strategik serta berada tidak jauh dari Kuching menyebabkan kawasan itu kini sedang giat dibangunkan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn menjelaskan landskap pembangunan di Serian mula berubah sejak kawasan itu dinaik taraf kepada bahagian bermula 11 April 2015 lalu.
Menurutnya, menjelang tahun hadapan, Serian bakal memasuki usia 10 tahun sebagai sebuah bahagian dengan beberapa siri pembangunan industri pertanian, penternakan dan pelancongan akan diteruskan dengan bantuan Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
“Urusan kita melalui GKCDA, kita akan melihat bahagian yang boleh dipertingkatkan lagi industri dan aktiviti yang bukan sahaja akan memberikan pendapatan kepada penduduk tidak hanya tertumpu kepada kumpulan peniaga tetapi juga golongan individu.
“Serian adalah kawasan pembekal makanan terutama bahan mentah daging ke Kuching dan juga beberapa kawasan lain. Malah, Serian pada suatu ketika dahulu pernah membekalkan bahan mentah kepada seluruh kawasan di Sarawak. Kini, Serian adalah pembekal ternakan babi ke negara Singapura, ” katanya lagi.
Roland berkata demikiam ketika ditemui pemberita pada akhir program Pesta Danu Serian 2024 di Tasik Danu, Serian pada Jumaat.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Roland menjelaskan pelbagai prasarana kini boleh diperolehi masyarakat yang mendiami kawasan itu meliputi Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak yang turut menjadi pusat khidmat sehenti bagi pembayaran bil dan utiliti, Pusat Persidangan Serian dengan kapisiti 1000 pengunjung, klinik kesihatan, Institusi Latihan Perindustrian (ILP) dan juga laluan Lebuhraya Pan Borneo serta dua jejambat bertingkat.
Tambahnya, pembangunan pesat di kawasan itu adalah bukti dan komitmen Kerajaan Sarawak dalam membantu menjana pendapatan ekonomi penduduk setempat terutama golongan yang tinggal di luar Kuching.
Selain Kerajaan Sarawak, beberapa lagi siri pembangunan eko-pelancongan akan turut dibangunkan pihak swasta lain yang bakal menyaksikan perubahan landskap pembangunan di bahagian itu semakin ketara menjelang tahun 2030-TVS