LIMBANG, 23 Nov: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berharap sukan tarik tali yang popular di utara Sarawak khususnya di Limbang dan Lawas tersenarai sebagai acara sukan utama di Sukan Olimpik.
Beliau berkata, usaha memartabatkan sukan tarik tali di peringkat antarabangsa sudah dilaksanakan melalui Persatuan Tarik Tali Bahagian Limbang (PTTBL) sehingga mendapat sambutan luar biasa daripada pasukan di negara ini dan Brunei Darussalam.
“Bagi kita sukan tarik tali begitu sinonim dengan Limbang dan Lawas malahan di Negara Brunei, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah.
“Sukan ini sudah begitu popular di peringkat antarabangsa cuma difahamkan ia bukan sebahagian daripada acara sukan yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik, saya berharap mungkin satu hari nanti,” katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa di Kompleks Sukan Limbang hari ini.
Turut hadirTimbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang dan Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal dan Walikota Majlis Daerah Limbang (MDL) Kaunselor Sufian Mohat.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa merupakan sukan ikonik di Bahagian Limbang dan perlu dipromosi secara meluas.
Beliau optimis melalui penyertaan yang memberangsangkan daripada pasukan bertanding, kejohanan tersebut dapat diadakan dalam skala lebih besar pada tahun hadapan melalui hadiah lumayan yang ditawarkan.
Kejohanan yang dianjurkan oleh Presiden Persatuan Tarik Tali Bahagian Limbang (PTTBL) itu merupakan cetusan ilham Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail yang pertama kali diadakan pada 2007.
Sebanyak 52 pasukan bertanding pada Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa dari Sabah, Sarawak, Brunei, Wilayah Persekutuan Labuan dan Semenanjung Malaysia.
Kejohanan Tarik Tali Antarabangsa menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM79,000 selain merebut Piala Premier Sarawak. – TVS