KUCHING, 23 Nov: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) berjaya menganjurkan 272 program melibatkan semua peringkat sama ada melibatkan unit, cawangan atau negeri.
Presiden SABERKAS Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, daripada jumlah tersebut, 208 program anjuran SABERKAS manakala 64 program dijalankan bersama rakan strategik.
Menurutnya, rakan strategik terlibat terdiri daripada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Jabatan Belia dan Sukan, Majlis Belia Malaysia, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO dan agensi perbankan.
“Untuk tahun ini, sebanyak 272 program dianjurkan SABERKAS melibatkan peringkat unit, cawangan, dan negeri. Daripada jumlah ini, 208 program adalah anjuran SABERKAS sendiri dan 64 program adalah anjuran dengan rakan strategik.
“Rakan strategik antaranya Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Jabatan Belia dan Sukan Malaysia, Majlis Belia Malaysia, Pertubuhan Bukan Kerajaan,
agensi-agensi perbankan dan lain-lain lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Seberkas Sarawak Ke-58 di Hotel UCSI di Kuching pada Sabtu.
Menurutnya, SABERKAS kian aktif dalam melaksanakan pelbagai program dalam setiap minggu di seluruh Sarawak termasuk peka terhadap bencana yang berlaku bagi membolehkan bantuan segera disalurkan.
Setakat ini SABERKAS mempunyai sebanyak 55,694 ahli berdaftar di kesemua 82 cawangan di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak melibatkan anak-anak muda dan belia.