TAWAU, 23 Nov: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki merogol teman wanitanya yang berusia 14 tahun di kawasan Balung, di sini, kelmarin.
Lelaki berusia 23 tahun ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan untuk siasatan selepas laporan dibuat oleh ibu mangsa pada jam 4.36 petang, Rabu lalu.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, mangsa tinggal serumah dengan suspek yang juga teman lelaki mangsa dan kejadian dipercayai berlaku pada 16 November lalu.
“Selepas kejadian itu, mangsa dikatakan memberitahu ibunya mengenai kejadian berkenaan sebelum laporan polis dibuat.
“Suspek yang juga seorang penganggur berjaya ditahan dan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan,”katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.
Sehubungan itu, Jasmin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak membiarkan anak tanpa pengawasan terutamanya dengan individu yang tidak dikenali.– TVS