KUCHING, 23 Nov: Pihak polis merampas sebanyak 50.80 gram dadah disyaki ketamin dan 36.50 gram dadah disyaki ganja dianggarkan keseluruhan bernilai RM11,255 di BDC di sini, malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, dalam serbuan jam 9.45 malam itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun.
“Tangkapan dilakukan di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952, suspek didapati positif dadah jenis ketamin dan thc.
“Malah, suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dengan kes dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, suspek direman selama empat hari mulai 24 hingga 27 November ini bagi membantu siasatan serta mengenal pasti punca bekalan dadah.
“Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada dua belas sebatan.
“Kita mengalu-alukan orang awam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah,” tegasnya.-TVS