KARACHI, PAKISTAN, 23 Nov: Dalam inisiatif memperkasa transformasi Angkatan Masa Hadapan (AMH) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab. Rahman bersama Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Sofi Md Lepi serta delegasi ATM telah menghadiri Pameran Antarabangsa Pertahanan dan Seminar (IDEAS) 2024 di Karachi, Pakistan.
Jurucakap Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat berkata, IDEAS 2024 yang dirasmikan oleh Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Asif, menandakan edisi ke-12 pameran pertahanan ini sejak tahun 2000 yang dianjurkan oleh Defence Export Promotion Organization (DEPO), Pakistan.
“Berlangsung di Pusat Ekspo Karachi dari 19 hingga 22 November 2024, pameran tersebut menghimpunkan sebanyak 224 syarikat tempatan dan 333 syarikat antarabangsa dari 55 buah negara.
“Sarawak kini berada di trajektori strategik untuk menerajui teknologi satelit dan pertahanan Malaysia seiring dengan penubuhan Jawatankuasa Industri Angkasa dan Satelit (SISCOM). Dengan aspirasi untuk memiliki dan mengurus aset teknologi satelit sendiri, Sarawak berpotensi menjadi pemain utama dalam ekosistem teknologi global. Langkah ini bukan sahaja dapat memacu pembangunan ekonomi negeri tetapi juga membuka peluang untuk Sarawak menyertai acara antarabangsa seperti IDEAS 2024,” katanya.
Katanya, semasa lawatan, PAT dan PMT TD berkesempatan meninjau beberapa pavilion utama yang mempamerkan teknologi pertahanan yang mutakhir, antara yang mencuri perhatian adalah inovasi pertahanan termaju merangkumi spektrum keupayaan pertahanan darat, aset maritim moden, teknologi aeroangkasa serta penyelesaian keselamatan siber generasi terkini.
“Dengan infrastruktur dan sumber daya manusia yang semakin berkembang, Sarawak mampu menjadi hub teknologi pertahanan serantau. Penyertaan dalam pameran seperti IDEAS juga dapat memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai rakan strategik dalam industri pertahanan global. Langkah ini sejajar dengan aspirasi Malaysia menuju “Angkatan Masa Hadapan” di mana teknologi satelit memainkan peranan penting dalam pemodenan ketenteraan,” ujarnya.
Lawatan delegasi ATM ke IDEAS 2024 ini amat signifikan dalam konteks permodenan ATM yang kini berada di landasan tepat menuju inisiatif ANGKATAN 30 yang sedang giat dilaksanakan. Lawatan tersebut juga menegaskan kepentingan penyertaan Malaysia dalam pameran berprestij ini sejajar dengan hasrat ATM untuk merealisasikan pembentukan AMH menjelang 2030. -TVS