SERIAN, 23 Nov: Kawasan Tasik Danu bakal diambil alih sebuah syarikat swasta bagi membangunkan sebuah pusat pelancongan dengan taman tema tersendiri bermula tahun hadapan dan dijangka siap menjelang 2030.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, ini sekali gus menyaksikan penganjuran Pesta Danu Serian kali keempat yang berlangsung dari 21 hingga 24 November ini sebagai edisi terakhir pesta tahunan daerah tersebut dengan sebuah pesta lain akan diadakan bagi mengantikan Pesta Danu Serian.
“Kita berharap agar penganjuran pesta seumpama Pesta Danu tidak akan dihentikan kerana ia adalah acara tahunan yang senantiasa ditunggu penduduk di Serian dan kawasan sekitar.
“Segala perancangan untuk penggantian Pesta Danu Serian, saya serahkan kepada Jawatankuasa Pengelola. Saya ada memberikan cadangan kepada mereka, jika tidak ada Danu (tasik), kita gunakan nama yang lain.
“Saya juga telah mencadangkan kepada mereka agar dilibatkan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) dan akan terus membantu kita dan memberikan peruntukan dan menukar nama pesta kepada Pesta Serian Timungen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di perasmian Pesta Danu Serian 2024 yang berlangsung di Tasik Danu di sini, malam tadi.
Roland turut berharap agar MTCP akan terus dilibatkan dalam sesi perbincangan sebagai usaha menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara ke Serian.
Jelasnya lagi, penganjuran pesta juga dilihat mampu merapatkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum di Serian melalui aktiviti sosial dan ekonomi.
Katanya, keluasan bahagian itu membolehkan pelbagai sektor dibangunkan meliputi pertanian, penternakan dan juga ekopelancongan.
Bahagian Serian turut menawarkan keindahan flora dan fauna yang masih tidak terusik dan sentiasa menjadi buruan pencinta alam semula jadi sehingga digelar mini New Zealand oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Hadir sama ADUN Bukit Semuja, John Ilus, ADUN Tebedu, Dr Simon Sinang Bada dan Penasihat di Jabatan Premier Sarawak (Pendidikan), Datuk Amar Micheal Manyin Jawong-TVS