SIBU, 23 Nov: Semua pelajar tahun enam di sekolah kebangsaan (SK) akan mengambil penilaian standard pelajar Program Dwi Bahasa (DLP) Sarawak bermula tahun hadapan dan tingkatan tiga pada 2028.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, penilaian itu bertujuan menilai tahap pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di bawah program DLP Sarawak.
“Kita akan adakan dalam bulan September ataupun Oktober tahun 2025 bagi kohot pertama yang mana semua yang mengambil DLP Sarawak akan menduduki peperiksaan tersebut.
“Ada sesetengah sekolah lain, misalnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) mereka bukan di bawah DLP tapi mungkin mereka mahu juga menduduki peperiksaan tersebut.
“Ada juga sekolah swasta yang bertanya adakah mereka boleh mendudukinya, itu kita boleh bincang dan kita belum ada keputusan untuk perkara tersebut,
“Kerana ini hanya untuk sekolah kebangsaan yang mana pelajar sekarang ini di bawah skim DLP,” katanya semasa ditemui pemberita pada Program Jangkauan Luar MLNG Bestari 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Oya, Sibu pada Sabtu.
Tambahnya, melalui penilaian khas tersebut, prestasi pelajar dan sekolah di seluruh Sarawak dapat dinilai manakala sekolah dengan prestasi yang kurang memuaskan dapat dibantu.
Menurutnya, soalan peperiksaan tersebut akan dikelolakan oleh Cambridge University Press and Assessment yang mana ia mempunyai kualiti dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Sebelum ini Kerajaan Sarawak mengambil langkah mewujudkan peperiksaan khas pelajar tahun enam susulan kebimbangan ibu bapa terhadap perkembangan anak-anak di sekolah rendah selepas pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Dalam pada itu, ketika berucap merasmikan program tersebut, Annuar berkata, perlaksanaan Program Pemantapan Pendidikan Sarawak (SEEP) memerlukan penelitian dan perancangan rapi bagi memastikan ia benar-benar memberi manfaat kepada pelajar.
“Mulai minggu haadapan saya akan menjelajah ke seluruh Sarawak untuk berjumpa dengan pengetua di sekolah-sekolah di Sarawak,
“Ia bagi mebincangkan secara terperinci mengenai perlaksanaannya agak ia lebih berkesan dan mencapai matlamat sebenar,
“Dengan itu, peruntukan sebanyak RM20 juta oleh Kerajaan Sarawak bagi tujuan tersebut pada tahun hadapan tidak dibazirkan begitu sahaja,” ujarnya.
Untuk rekod, SEEP mula diperkenalkan pada Ogos tahun ini dan memfokus kepada subjek Sains Tulen, Matematik dan Bahasa Inggeris.
Ia merupakan rancangan jangka panjang yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak untuk menjadikan keputusan SPM pelajar di Sarawak setanding dengan purata kebangsaan dalam tempoh lima tahun.
Turut hadir Naib Presiden Kanan, Perniagaan Gas dan Maritim, Abang Yusuf Abang Puteh; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Malaysia LNG (MLNG), Mohamed Syazwan Abdullah @ Laga Jenggi dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Oya, Dr. Zulkarnain Farihin Abdullah.– TVS