SERIAN, 23 Nov: Kekosongan bagi jawatan guru sekolah di Sarawak menerusi pengambilan khas masih belum dapat ditentukan pada tahun hadapan kerana surat tawaran masih belum dikeluarkan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penawaran surat kepada calon guru pengambilan khas itu dijangka akan diselesaikan sebelum penghujung tahun ini.
Menurutnya, kementeriannya juga bersedia untuk melakukan perbincangan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sekiranya terdapat ramai calon terpilih menolak penjawatan tersebut selepas tawaran diberikan.
“Ini (pengambilan guru khas) akan kita lihat semula jika ada kekosongan jawatan guru dalam pendidikan di sekolah (dan) jika ada kita akan sekali lagi lakukan rundingan bersama pihak SPP dan KPM untuk mengadakan semula satu lagi pengambilan khas.
“Bagaimanapun, pengambilan khas itu nanti mungkin tidak akan sama seperti pengambilan khas seperti tahun ini menerusi jumlah bilangan penawaran,” katanya ditemui pemberita pada akhir program Pesta Danu Serian 2024 di Tasik Danu di sini, pada Jumaat.
Untuk rekod pengambilan khas guru menerusi pengambilan khas untuk Sarawak oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah menarik minat lebih 15,000 pemohon seluruh Malaysia dengan 2,010 telah disenarai pendek untuk temu duga akhir.
Media turut melaporkan Kerajaan Sarawak memberi peluang kepada calon dari negeri ini diberikan keutamaan memohon jawatan tersebut bertujuan bagi memastikan kesinambungan guru sedia ada di seluruh Sarawak.-TVS