Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Aktiviti penanaman pokok oleh Datuk Dr. Ripin Lamat pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Sabal dan Ekspedisi Saintifik Hutan Simpan Sabal 2024 di Simunjan pada Sabtu

Hari Terbuka Sabal perkasa usaha pemuliharaan hutan

SIMUNJAN, 23 Nov: Hari Terbuka Sabal dan Ekspedisi Saintifik Hutan Simpan Sabal 2024 merupakan inisiatif Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dalam memperkasa usaha pemuliharaan hutan, memberi pendidikan serta kefahaman kepada masyarakat agar lebih mengenali habitat, spesies flora dan fauna di hutan simpan tersebut.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr. Ripin Lamat berkata, inisiatif berteraskan konservasi itu akan menimbulkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan melindungi dan memulihara flora serta fauna selain turut mengajak orang ramai terlibat sama menjaga khazanah alam.

“Berdasarkan Polisi Guna Tanah Sarawak, sejumlah tujuh juta hektar kawasan berhutan negeri diperuntukkan untuk tujuan pengurusan hutan mampan dan pemeliharaan hutan yang mana enam juta hektar diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (PFE) bagi tujuan pengurusan dan penggunaan sumber hutan secara berkekalan.

“Manakala satu juta hektar pula adalah sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) untuk tujuan pemeliharaan alam semula jadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Sabal dan Ekspedisi Saintifik Hutan Simpan Sabal 2024 di Simunjan pada Sabtu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad berkata, selain daripada memberi peluang kepada orang ramai meneroka keunikan spesies flora dan fauna di Hutan Simpan Sabal, aktiviti tersebut turut memberi pendedahan kepada pengunjung tentang batasan yang perlu dijaga ketika berada di kawasan itu sekali gus mengelak berlaku konflik antara manusia dengan alam sekitar.

Jelasnya, JHS komited dalam mengenal pasti kawasan yang mempunyai potensi untuk diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (PFE) dan setakat Oktober 2024, sebanyak 119 PFE dengan anggaran keluasan empat juta hektar diwartakan.

“Sebagai komitmen dalam memelihara kawasan berhutan di Sarawak, Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Hutan Sarawak kemudiannya mewartakan seluas 4,709 hektar daripada keseluruhan kawasan Hutan Simpan Sabal menjadi Taman Negara,” ujarnya.

Seramai lebih 2,000 pengunjung hadir dan turut serta dalam pelbagai program yang dianjurkan termasuk aktiviti perkhemahan Sabal, pertandingan perlumbaan dron, aktiviti berbasikal serta pertandingan fotografi.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS Profesor Dr. Al-Khalid Othman.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan