SERIAN, 23 Nov: Empat lelaki bersenjatakan parang melakukan samun berkumpulan dengan memecah masuk sebuah rumah di Kampung Panchor Dayak, Jalan Batu 29 Serian di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Neil Beginda berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 1.48 pagi.
“Hasil siasatan mendapati empat lelaki telah memecah masuk ke dalam rumah dengan memotong pagar hadapan dan masuk melalui tingkap.
“Antara barang yang dilaporkan hilang berupa wang tunai, barangan kemas, kunci rumah, komputer riba, kad ATM, kad pengenalan, lesen memandu, kunci kereta Toyota Avanza dan makanan kering,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, anggaran kerugian yang dialami ialah sebanyak RM40,700.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membaws hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.
“Pihak polis sedang mengesan empat lelaki merupakan suspek yang terlibat dalam kejadian ini,” ujarnya.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Rizal Nante di talian 082-874201.-TVS