KUCHING, 23 Nov: Sarawak bertindak memperketatkan undang-undang sedia ada melibatkan autonomi imigresen Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 161E(4) dan Akta Imigresen 1959/63 merangkumi hak eksklusif Kerajaan Sarawak untuk mengatur serta mengawal kemasukan individu ke Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, permit kerja perlulah diperoleh syarikat atau individu jika melakukan sebarang pekerjaan di dalam Sarawak.
Menurutnya, Sarawak tidak mahu melihat ada pihak yang menggunakan pas lawatan sosial untuk berkerja di dalam wilayah ini walaupun dalam waktu singkat dan perkara tersebut adalah melanggar undang-undang buruh negeri ini yang boleh diambil tindakan terhadap individu atau majikan terlibat.
“Sesetengah syarikat perlu memohon lesen, pekerja itu perlu memohon permit bekerja kerana beberapa syarikat ini mereka berpangkalan di Kuala Lumpur tetapi mereka masuk Sarawak untuk melakukan pemeriksaan dan sebagainya mereka hanya pakai pas sosial kerana dia datang untuk dua atau tiga hari.
“Walaupun begitu apabila mereka masuk menggunakan pas sosial tetapi sebenarnya mereka melakukan kerja seperti membuat pemeriksaan ini bermakna mereka telah melanggar undang-undang Sarawak apabila mereka melanggar undang-undang buruh, kita boleh dakwa mereka atau majikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SABERKAS Sarawak ke-58 di Hotel UCSI di Kuching pada Sabtu.
Bagaimanapun menurutnya, penambahbaikan pelaksanaan undang-undang tersebut dijalankan dan Kerajaan Sarawak akan menentukan pendekatan terbaik yang perlu dilaksanakan.
Tambahnya, ia termasuk segala urusan penyediaan platform permohonan permit melalui sistem dalam talian bagi memudahkan orang ramai yang ingin mendapatkan permit berkerja tersebut sebelum masuk ke Sarawak.-TVS