Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seorang wanita tempatan berusia lingkungan 50-an yang bekerja sebagai pegawai kanan di sebuah pasar raya tempatan mengalami kerugian RM549,000 selepas terjebak dalam skim pelaburan palsu melalui media sosial. Foto hiasan Envato

Wanita rugi lebih RM500,000 terjerat skim pelaburan palsu

SIBU, 22 Nov: Seorang wanita tempatan berusia lingkungan 50-an mengalami kerugian RM549,000 selepas terjebak dalam skim pelaburan palsu melalui media sosial di sini.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa telah terjerat selepas menekan pautan iklan pelaburan di Facebook dan berhubung dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai “Chole SDR” melalui aplikasi WhatsApp.

Katanya, suspek menjanjikan keuntungan lumayan dan menambah mangsa ke dalam kumpulan WhatsApp bernama “SPDR-AIA Super Plan.

“Suspek kemudian meminta mangsa memuat turun aplikasi AE Online untuk berkongsi maklumat peribadi dan membuat bayaran bagi memulakan pelaburan tersebut.

“Berikutan itu, mangsa melakukan 12 transaksi pembayaran antara 30 Oktober hingga 14 November 2024, berjumlah RM549,000 ke dalam tiga akaun bank tempatan yang berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, selepas semua pembayaran dibuat, mangsa yang bekerja sebagai pegawai kanan di sebuah pasar raya tempatan cuba mengeluarkan wang pelaburan seperti yang dijanjikan.

“Bagaimanapun, suspek meminta bayaran tambahan sebanyak RM981,540 untuk mendapatkan semula wang pelaburannya, menyebabkan mangsa berasa curiga dan menyedari dirinya telah ditipu sebelum segera membuat laporan polis,” dedahnya.

Zulkipli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati supaya membuat semakan terlebih dahulu terutamanya ketika membuat pelaburan yang menawarkan keuntungan atau pulangan yang tinggi.

Untuk mendapatkan bantuan, orang ramai menyemak status pelaburan dengan Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum membuat sebarang komitmen kewangan serta semakan boleh dilakukan melalui laman sesawang seperti http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.-TVS

Tags: rugi, scam, sibu

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan