LUNDU, 22 Nov: Tentera Darat Malaysia (TDM) mematahkan aktiviti penyeludupan mercun dan rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai berjumlah RM 336,050 di Sektor Pos GABMA Kandaie dalam Op Awas/Keris Parang di sini, tengah hari tadi.
Divisyen Pertama Infantri Malaysia melalui Sel Perhubungan Raya berkata, penahanan dilakukan semasa anggota TDM dan TNI-AD yang sedang melaksanakan rondaan di kawasan ladang sawit PJP Pelita Kandaie berdekatan laluan haram 50 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia pada jam 12.30 tengah hari.
“Mereka melihat satu kenderaan jenis SUV Mitsubishi Pajero Sport dan satu lori 2 tan Mitsubishi Fuso yang membawa muatan yang bertutup dilaluan haram menghala ke arah Indonesia.
“Anggota peronda telah menahan kenderaan tersebut bagi tujuan pemeriksaa, tetapi pemandu kenderaan telah bertindak melarikan diri ke arah sempadan Indonesia,” katanya.
Menurutnya, barang yang ditinggalkan adalah 50 kotak mercun, 1,250 karton rokok jenama Era Double Section, 750 karton rokok jenama Era Full Flavor, 300 karton rokok jenama Parkway, 750 karton rokok jenama LA Light dan 750 karton rokok jenama LA Filter.
Menurut kenyataan itu lagi, hasil pemeriksaan juga, mendapati tiada barang terlarang dan berbahaya dijumpai di sekitar kawasan tersebut.
“Kesemua hasil rampasan dianggarkan berjumlah RM 336,050.Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lundu dan kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada pihak Kastam,” ujarnya.
Sehubungan itu, Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Khairul Anwar Abd Aziz merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua anggota di bawah naungannya.
“TDM akan terus komited untuk memperketatkan kawalan di persempadanan Malaysia- Indonesia bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara dari sebarang bentuk pencerobohan PATI, kegiatan penyeludupan mahupun jenayah rentas sempadan,” tegasnya.-TVS