KUCHING, 22 Nov: Sarawak Energy Berhad (SEB) perlu melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Belaga terutama melibatkan bidang pendidikan.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang berkata, beliau memohon dana masing-masing RM1 juta daripada Empangan Bakun dan Empangan Murum bagi menyokong kelangsungan Tabung Amanah Bakun (TAB) menerusi pelaksanaan CSR.

“Bukan Bakun sahaja, sekarang kita mempunyai dua empangan besar yang kebetulan bertempat di Daerah Belaga iaitu Bakun dan Murum.
“Saya kira kedua-dua empangan itu menyumbangkan hasil yang cukup baik. Kita cukup adil, kita tidak minta untuk individu tetapi untuk rakyat Belaga secara keseluruhannya, sebab itulah kita gunakan Tabung Amanah Bakun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, TAB yang merupakan tabung pendidikan yang bermula dengan peruntukan RM10 juta sejak 27 tahun lalu dan dana tersebut digunakan untuk memberi biasiswa secara sekali beri kepada anak-anak di kawasan berkenaan setiap tahun.
“Sekarang dana tersebut berbaki RM6 juta yang mana RM4 juta dalam bentuk aset manakala RM2 juta sudah tentulah disimpan di bank.
“Kalau kita belanjakan dana ini, berikan bantuan kepada pelajar-pelajar kita, dalam jangka masa tujuh tahun kita akan kehabisan (dana),” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga menambah perbelanjaan tahunan termasuk pengurusan daripada TAB mencecah RM900,000 dan jumlah itu dijangka meningkat sekiranya permohonan semakin bertambah.
Sementara itu, Abang Johari turut menerima kunjungan hormat daripada Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) yang diwakili Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit dan Timbalan Pengurus Besar Jabatan Perkhidmatan Sokongan PHB, Nadia Edmaz Abdul.

Pada kunjungan hormat tersebut, PHB turut menyerahkan zakat perniagaan bernilai RM100,000 kepada Tabung Baitulmal Sarawak yang diwakili Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha.-TVS