Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini melancarkan PCDS 2030: Sorotan 2023, Laporan Tahunan Pertama bagi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak. Foto Faitullah Morni (TVS)

Sarawak sasar tarik pelaburan RM100 bilion menerusi infrastruktur dalam tempoh lima tahun

BySheera Abg Mansor

KUCHING, 22 Nov: Kerajaan Sarawak bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berhasrat menarik pelaburan bernilai RM100 billion menerusi pembangunan infrastruktur dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata pembangunan berkenaan termasuk membina lapangan terbang baharu yang akan menyokong infrastruktur sedia ada.

Menurut beliau, pembangunan ke arah mencapai negeri maju menjelang 2030 ini akan dinaungi Kerajaan Sarawak berbanding bergantung kepada tindakan Putrajaya.

“Kalau kita hanya menunggu Putrajaya, ibarat menunggu sungai yang tidak berhulu.

Jadi, kita perlu mengambil inisiatif sendiri untuk membangunkan model seperti lapangan terbang di Doha, Qatar dengan semua prosesnya lancar dan efisien. Lapangan terbang ini mampu menerima 15 juta pelawat dalam satu masa.

Memang ada orang kata mungkin ia akan jadi projek ‘gajah putih’, tapi belum tentu. Sebab kita mempunyai banyak produk yang boleh menarik perhatian pelawat,” katanya.

Beliau berucap semasa Majlis Pelancaran PCDS 2030: Sorotan 2023, Laporan Tahunan Pertama bagi PCDS 2030 Sarawak, di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Susulan daripada pembinaan lapangan terbang baru, Abang Johari mendedahkan rancangan Kerajaan Sarawak untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri bakal menjadi kenyataan apabila bakal mengakhiri perjanjian pengambilalihan MASwings pada bulan Disember dalam usaha melonjak sektor perkhidmatan di wilayah ini.

“Dalam erti kata lain, ekosistem kita lengkap dengan adanya lapangan terbang dan syarikat penerbangan milik sendiri yang akan membawa orang datang kepada kita, sama ada sebagai pelancong atau ahli perniagaan.

Apabila kemudahan seperti ini tersedia dan mudah, barulah mereka akan melabur dengan kita,” jelasnya.

Selain itu, Abang Johari mendedahkan rancangan untuk meningkatkan infrastruktur pelabuhan menerusi pembinaan pelabuhan laut dalam di Kuching.

Usaha ini kata beliau, adalah bagi menangani keterbatasan pelabuhan sedia ada di Muara Tebas dan Senari yang hanya boleh mengendalikan kapal-kapal kecil ketika air surut.

Menurutnya lagi, Sarawak tidak harus bergantung kepada pengoperasian pelabuhan Bintulu yang sebelum ini telah diambil alih kerajaan semata-mata.

“Selalunya kita ada masalah di Muara Tebas kerana air tohor, kapal tidak dapat masuk dan sama juga keadaannya di Pelabuhan Senari dimana kapal menunggu air pasang untuk dapat masuk. Itu pun kapal kecil, jadi kita hendaklah membina pelabuhan laut dalam kita sendiri,” ujarnya lanjut.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak bersiap sedia meneroka jentera baharu untuk melaksana agenda pembangunan ekonomi terutama industri baharu berteraskan tenaga dan produk hijau.

“Tahun depan, kami akan memanggil semua pemegang taruh dan berkongsi data yang telah kita capai serta hala tuju untuk lima tahun akan datang, dengan anda sebagai tulang belakang dan jentera yang membawa idea-idea baharu ini,” katanya.

Laporan PCDS 2030: Sorotan 2023 yang dilancarkan hari ini memaparkan pencapaian Sarawak dalam enam bidang ekonomi utama dan tujuh pemboleh, menandakan langkah penting ke arah masa depan yang lebih mampan, inklusif, dan makmur.

Laporan ini memberi gambaran jelas tentang usaha pembangunan Sarawak termasuk testimoni daripada pemimpin perniagaan, pemimpin komuniti, dan keluarga yang telah menerima manfaat daripada inisiatif ini.

Hadir sama barisan Menteri dan Timbalan Menteri Sarawak, pegawai kanan kerajaan, pemimpin korporat, serta wakil sektor swasta dan NGO turut menunjukkan sokongan padu terhadap perjalanan pembangunan Sarawak.- TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan