LIMBANG, 22 Nov: Kerajaan Sarawak komited mempertahankan hak mutlak ke atas sumber gas asli melalui pelantikan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) sebagai agregator gas tunggal di wilayah ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata jumlah simpanan gas di Malaysia adalah kebanyakkannya di wilayah ini termasuk di perairan Sarawak dan perlu dimanfaatkan untuk pembangunan industri tempatan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menambah sudah tiba masanya untuk Sarawak memanfaatkan sumber gas asli mereka bagi memajukan industri di wilayah itu.
“Sarawak mempunyai hak mutlak ke atas gas asli sekarang ini kerajaan Sarawak sedang berunding Petronas berkenaan dgn agregator gas.
“Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lepas, kita tidak akan berkompromi dan hanya Petros satu-satunya yang menjadi pentadbir tunggal bagi gas ini,”katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Kem Karnival STEM SMK Medamit di Dewan Pegari SMK Medamit Limbang hari ini.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) yang juga isteri beliau Datin Dayang Maimunah Awang Mohamad Daud.
PETROS, yang merupakan syarikat milik Kerajaan Sarawak, dilantik sebagai agregator gas tunggal berkuat kuasa 1 Februari 2024, sekali gus berperanan menjalankan semua aktiviti yang berkaitan dengan perolehan, pembekalan, pengedaran dan penjualan gas asli di Sarawak. -TVS