KUCHING, 22 Nov: Sarawak mencatat kemajuan cemerlang dalam laporan tahunan pertama bagi pelaksanaan pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau menyifatkan selepas kejayaan yang disumbang menerusi peningkatan pendapatan negeri, Kerajaan Sarawak komited untuk meningkatkan pendapatan isi rumah dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Kita telah mencapai kejayaan tertentu pada separuh pertama tahun 2023, dan dalam tempoh lima tahun akan datang, kita perlu terus bekerja keras.
Walaupun kita telah mencapai status pendapatan tinggi, kita mahu pendapatan isi rumah rakyat kita meningkat, termasuk golongan berpendapatan pertengahan.
“Ini memerlukan usaha gigih daripada pihak kita. Apa yang penting di sini ialah apa langkah seterusnya selepas mencapai data tersebut,” katanya.
Beliau berucap semasa Majlis Pelancaran PCDS 2030: Sorotan 2023, Laporan Tahunan Pertama bagi PCDS 2030 Sarawak, di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Menurut Abang Johari, pencapaian yang dicatatkan ini akan diteruskan oleh legasi pemimpin seterusnya yang akan memegang tampuk kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dalam ucapannya berkata Laporan Tahunan Pertama bagi PCDS 2030 Sarawak menunjukkan memberikan gambaran jelas tentang perjalanan Sarawak setakat ini, dengan memperincikan strategi yang telah dilaksanakan dengan berani serta pencapaian yang telah dicapai.
“Melalui laporan ini, kami berkongsi secara terbuka kemajuan dan hasil daripada program serta dasar Kerajaan Sarawak kepada para pemegang taruh.
Ini adalah cara kami memastikan semua pihak sentiasa dimaklumkan dan dilibatkan kerana kami percaya bahawa masa depan yang lebih cerah untuk Sarawak hanya dapat dibina jika kita bekerjasama,” jelasnya.
Laporan PCDS 2030: Sorotan 2023 menunjukkan pencapaian sebenar merentasi sektor, dengan pencapaian dari sektor Pembuatan menarik RM21.5 bilion pelaburan, mewujudkan lebih daripada 11,000 pekerjaan baharu.
Sektor Pelancongan telah mencatatkan 3.9 juta ketibaan pelawat pada tahun 2023, menjana pendapatan pelancongan sebanyak RM9.99 bilion.
Dalam sektor Perhutanan pula, Sarawak menunjukkan komitmen terhadap alam sekitar dengan menanam 32.5 juta pokok dari 2021 hingga 2023.
Selain itu, Sarawak menerusi sektor Infrastruktur, telah membina rangkaian jalan yang meluas sejauh 31,577 km, meningkatkan akses dan keterhubungan.
Menerusi sektor Utiliti pula, liputan elektrik telah mencapai 99.4 peratus, manakala liputan bekalan air berada pada 84.3%, membawa perkhidmatan penting kepada lebih banyak komuniti.
Manakala dalam sektor Tenaga Boleh Diperbaharui, Sarawak mengekalkan 60 peratus campuran kapasiti tenaga boleh diperbaharui dan menjual 5 juta Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) pada tahun 2023.
Laporan ini memberi gambaran jelas tentang usaha pembangunan Sarawak termasuk testimoni daripada pemimpin perniagaan, pemimpin komuniti, dan keluarga yang telah menerima manfaat daripada inisiatif ini.
Hadir sama barisan Menteri dan Timbalan Menteri Sarwak, pegawai kanan kerajaan, pemimpin korporat, serta wakil sektor swasta dan NGO turut menunjukkan sokongan padu terhadap perjalanan pembangunan Sarawak.- TVS