Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Ketua Pengarah Kebudayaan Dan Kesenian Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Rosnan Nordin ketika ditemu bual semasa sesi persiapan Konsert Tribute To P.Ramlee di Dewan Majma Tunku Abdul Halim Muadzam Shah di Kuching pada Jumaat.

Konsert ‘Tribute To P.Ramlee’ buka tirai malam ini di Dewan Majma Kuching

KUCHING, 22 November: Konsert ‘Tribute To P. Ramlee’ bakal membuka tirai malam ini hingga esok di Dewan Majma Tunku Abdul Halim Muadzam Shah, di sini.

Timbalan Ketua Pengarah Kebudayaan dan Kesenian, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Rosnan Nordin berkata, program itu merupakan usaha menyemarakkan karya seni, sastera, teater warisan, dan karya agung khususnya menghargai warisan seni seniman agung, Tan Sri P. Ramlee yang bernilai tinggi kepada industri seni negara.

Konsert itu yang akan diiringi oleh kumpulan orkestra merupakan satu langkah memastikan legasi seniman agung itu terus hidup dalam hati rakyat termasuk memperkenalkan karya-karya beliau kepada generasi muda yang berkemungkinan kurang mengenali seniman ini.

“Di Sarawak ini kita mengangkat salah satu tokoh yang terkenal, yang memang kita tak nafikan iaitu Allahyarham seniman Tan Sri P. Ramlee dan kenapa kita memilih ini kerana karya-karyanya yang masih segar hingga sekarang yang susah orang mengatasi walaupun karyanya itu dah hampir 50 tahun.

“Kita mengangkat karya-karyanya dari aspek lagu-lagu ciptaannya. Kaedah yang kita terjemahkan pada karya agung kali ini adalah berbentuk konsert yang diiringi oleh orkestra dan dengan cara itulah kita mengangkat, kita mengapungkan karya-karya ini kepada tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual semasa sesi persiapan Konsert ‘Tribute To P. Ramlee’ di Dewan Majma Tunku Abdul Halim Muadzam Shah di Kuching pada Jumaat.

Rosnan berharap konsert dua malam itu dapat menghidupkan kembali kenangan dan nostalgia terhadap karya-karya abadi seniman Tan Sri P. Ramlee, selain dapat merasakan keindahan muzik dan lirik yang menyentuh jiwa serta memahami nilai-nilai kemanusiaan dan budaya yang terkandung dalam setiap lirik lagu itu.

Katanya, acara tersebut akan menyaksikan penglibatan sepenuhnya hasil usaha anak jati Sarawak bermula dari pengarah muzik, kumpulan pemuzik, penyanyi, serta bahagian pengurusan teknikal persembahan.

“Kita minta orang ramai untuk hadir sama-sama memberi sokongan kepada konsert ‘Tribute to P. Ramlee: Malam Getaran Jiwa’ ini kerana ini pertama kali kita menggunakan semuanya artis-artis dari Sarawak dan juga mereka yang datang daripada generasi muda tetapi masih menyintai lagu-lagu P. Ramlee.

“Begitulah harapan saya. Agar semua generasi, tak kira umur, bangsa, dan sebagainya, datanglah ramai-ramai untuk memberi sokongan dan menyaksikan satu konsert yang seratus peratus dihasilkan oleh anak Sarawak, dari segi pengarah muzik, kumpulan muzik, penyanyi, dan juga keseluruhannya. Ini adalah salah satu hasil buah tangan orang Sarawak,” katanya.

Antara artis-artis yang bakal membuat persembahan pada malam konsert berkenaan ialah penyanyi tempatan popular Sarawak seperti Chien Ng, Nurhijrah Yahya, Hairee Francis, Azie Mustapha, Nurhamimah Borhan, Firdaus Abu Bakar, dan Juara Bintang P. Ramlee 2024 Zon Sarawak, Ahmady Sapuan.

Orang ramai dijemput hadir untuk hadir memeriahkan Konsert ‘Tribute To P. Ramlee’ di Dewan Majma Tunku Abdul Halim Muadzam Shah, Kuching, Sarawak dengan tema pakaian Black Tie. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan