SRI AMAN, 22 Nov: Khidmat anjing pengesan, Daisy digunakan dalam usaha mengesan lelaki warga emas yang dikhuatiri hilang di kebun di Rumah Panjang Ringgit Ibol di sini, hari ini.
Komander Operasi, Elijah Tiyit berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini dihentikan susulan hujan.
“Pencarian dibuat dengan pembahagian kepada tiga pasukan hingga ke kawasan Skim Melugu.
“Disebabkan hujan pada sebelah petang operasi SAR dihentikan pada jam 5 petang dan akan bersambung esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian pada Rabu, mangsa, Niang Lasa,75, memberitahu mahu pergi ke kebun miliknya di Sungai Raya Ibol pada jam 11 pagi.
Semasa keluar rumah mangsa tidak menggunakan baju dan hanya menggunakan seluar panjang dan membawa parang. -TVS