KUALA LUMPUR, 22 Nov: Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dalam fasa memuktamadkan rundingan Perjanjian Perkhidmatan Udara dengan China, Jepun dan Korea Selatan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, perjanjian itu penting dalam mengukuhkan ketersambungan serantau dan antara wilayah dengan menggalakkan penerbangan udara bebas.
Jelas beliau, ketiga-tiga negara Asia Timur itu merupakan rakan dialog Asean.
“Perjanjian ini juga membolehkan akses kepada pasaran yang lebih luas dan memupuk hubungan ekonomi dan budaya yang lebih erat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Mesyuarat Menteri Pengangkutan Asean ke-30 dan Mesyuarat Pegawai Kanan Pengangkutan ke-58.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.
Katanya lagi, menteri-menteri pengangkutan negara Asean turut mengambil kesempatan untuk terlibat dalam perbincangan dengan rakan kongsi pembangunan utama.
Antaranya ialah Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia, Forum Pengangkutan Antarabangsa, Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AAIB), dan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UNESCAP).
Sementara itu, Asean juga menerima pakai Protokol 1 Perjanjian Perkhidmatan Udara dengan New Zealand dalam mengukuhkan penerbangan bersama negara-negara anggota.
“Perjanjian ini memperluaskan akses pasaran untuk syarikat penerbangan, menyokong kerjasama ekonomi, dan memudahkan ketersambungan orang ramai, yang bergantung kepada hubungan antara kedua-dua wilayah,” katanya. – TVS