KUBANG PASU, 22 Nov: Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menggagalkan cubaan seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk melepasi sempadan negara dari negara jiran dengan menahan mereka di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia di sini semalam.
Jurucakap Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan berkata, pasukan beroperasi yang melaksanakan rondaan kira-kira pukul 4.45 pagi telah mengesan pergerakan dua individu dipercayai tonto yang membawa 12 PATI berjalan memasuki kawasan sempadan negara.
Menurutnya, sewaktu diserbu, pasukan beroperasi berjaya menahan 11 daripada PATI itu manakala dua tonto dan seorang lagi PATI melarikan diri.
“Walaubagaimanapun, PATI yang melarikan diri tersebut berjaya ditahan oleh pasukan operasi pada hari yang sama kira-kira pukul 9.40 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka merupakan warga Myanmar berumur antara 15 hingga 45 tahun,” katanya.
Menurutnya, PATI terbabit dipercayai melintas sempadan Malaysia-Thailand pada kira-kira pukul 1 pagi.
“Pasukan turut merampas wang tunai mata wang Malaysia berjumlah RM270, wang tunai Myanmar 727,500 kyat (RM1,758) dan wang tunai Thailand 2,820 bhat (RM363).
“Turut dirampas, 13 telefon bimbit serta dua motosikal jenis Honda RSX 150 dan Honda Wave 110 dengan nilai keseluruhan sebanyak RM17,431,” ujarnya.
Beliau berkata, kesemua PATI berkenaan telah diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam di sini untuk tindakan selanjutnya. – TVS