KUCHING, 21 Nov: Program Train-The-Trainer (TTT) yang pertama dianjurkan Rotary Club of Bintulu Central (RCBC) bermatlamat untuk menangani peningkatan kes alzheimer di Sarawak.
Inisiatif tersebut bertujuan memperkasa profesional kesihatan dan komuniti penjaga dengan kemahiran penting selari dengan usaha mencipta Sarawak mesra demensia menjelang 2050.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, program tersebut penting dalam menghadapi peralihan Sarawak kepada populasi penuaan.

“Sarawak pada 2030 tidak akan sama seperti 2024. Kita kini berdepan peningkatan kes alzheimer yang ketara berbanding 2014. Ini menunjukkan keperluan mendesak untuk penyelesaian yang menyasarkan isu ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Penjagaan Alzheimer dan Penyampaian Sijil TTT di Kuching, pada Khamis.
Presiden RCBC, Allen Wong berkata, inisiatif tersebut tersebut merangkumi kempen kesedaran awam melalui webinar dan fasa TTT semasa yang menyasarkan pensijilan pelatih untuk mendidik penjaga komuniti.

“Fasa 1 merangkumi webinar kesedaran awam, pensijilan pelatih dan pendidikan penjaga. Inisiatif ini menghubungkan pelatih, penjaga dan komuniti Sarawak seperti sungai yang mengalir bersama menuju Sarawak mesra demensia,” ujar Wong.
Program TTT menyasarkan untuk melatih dan menyahkan pensijilan 128 pelatih menjelang 2025 dengan fokus kepada empat bandar utama seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.
Pelatih tersebut dijangka menjalankan bengkel penjagaan yang bakal memberi manfaat kepada 1,600 penjaga setiap tahun menjelang 2026.
Wong turut menambah fasa berikutnya akan melibatkan pembangunan sistem sokongan digital dan penubuhan pusat khas penjagaan demensia dan alzheimer.
“Usaha ini memberikan rangka kerja komprehensif untuk mengurangkan tekanan terhadap fasiliti kesihatan sambil memperjuangkan penjagaan yang dipacu oleh komuniti,” jelasnya.
Sementara itu, dalam program TTT yang diadakan baru-baru ini di Kuching pada 18 November, seramai 16 peserta menamatkan latihan.
Program tersebut bukan sahaja meningkatkan kesedaran dan membetulkan salah tanggapan tentang alzheimer tetapi juga memperkasa kemahiran penjaga serta profesional kesihatan.
Menurut Donny Mihas, salah seorang peserta yang juga penjaga warga emas di Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), program tersebut membantu mengenal pasti tanda awal alzheimer dan memberikan panduan penjagaan yang betul.

“Ia pengalaman yang sangat baik untuk membantu komuniti kita belajar cara yang betul menjaga pesakit,” katanya.
Pandangan sama disuarakan oleh Efa Erlia Kadirisman, seorang Jurupulih Perubatan Cara Kerja yang menyifatkan program tersebut sebagai platform untuk mempelajari strategi terbaik dalam menangani pesakit alzheimer.

“Melalui peluang ini, kita boleh memberikan kesedaran dan mendidik penjaga tentang strategi penjagaan di rumah,” ujarnya.
Sementara itu, bagi Patricia Nawai Wilfred yang menjaga ahli keluarga pesakit alzheimer, program tersebut memberikan ilmu dan kemahiran yang amat berguna.

“Pengetahuan dan latihan ini benar-benar membantu kami sebagai penjaga untuk memberikan impak kepada penjaga lain,” jelasnya.
Antara rakan strategik dalam projek tersebut ialah Alzheimer’s Disease Foundation Malaysia (ADFM), Methodist Pilley Institute (MPI), Persatuan Kesihatan Mental Sarawak, Dayak Bidayuh National Association (DBNA), Federal Chinese Association, Rotary International District 3310 dan Rotary Club Malaysia Foundation.
Program tersebut dirancang diperluaskan di bandar utama lain di Sarawak termasuk Sibu, Bintulu, dan Miri. – TVS