KUALA LUMPUR, 21 Nov: Lembaga Tabung Haji (TH) telah melantik 37 syarikat pelancongan tempatan termasuk anak syarikatnya Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS) sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi Musim Haji 1446H/2025M.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, penambahan bilangan PJH kepada 37 syarikat pelancongan tempatan bagi musim 1446H/2025M ini menunjukkan komitmen TH dalam memberi peluang kepada syarikat pelancongan tempatan yang telah memenuhi syarat dan kriteria bagi mengelola jemaah haji negara.
Menurutnya, Tabung Haji sangat terbuka dalam pemberian Lesen PJH kepada mana-mana syarikat pelancongan yang memohon serta memenuhi kelayakan dan seterusnya melepasi penilaian TH.
“Berdasarkan proses pemilihan, penilaian dan semakan yang dilakukan, saya yakin syarikat-syarikat PJH yang telah terpilih ini memiliki kapasiti yang teguh, kepakaran dan pengalaman yang mencukupi serta komited memberikan perkhidmatan terbaik dan menjaga kebajikan jemaah haji Malaysia.
“Mana-mana syarikat pelancongan yang berminat untuk mengelolakan jemaah haji, mereka boleh memohon lesen melalui Sistem Agensi Haji yang boleh dicapai di laman web TH,” kata Na’im dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Na’im, bagi memudahkan urusan haji, TH juga telah melancarkan Sistem Agensi Haji, satu sistem digital untuk memudahkan permohonan, penilaian dan pemantauan perkhidmatan yang disediakan oleh PJH.
Katanya lagi sistem ini dijangka akan meningkatkan kualiti perkhidmatan, mempercepatkan proses, dan memudahkan pengawasan perkhidmatan sepanjang musim haji.
“Melalui inisiatif digital ini, kami percaya bahawa sistem ini akan memberikan kemudahan kepada pengurusan TH dan syarikat-syarikat PJH untuk mendapat akses kepada maklumat bagi memastikan ketelusan dalam operasi,” tambah Na’im.
Dalam pada itu Na’im juga menyeru semua PJH pada musim haji 1446H untuk terus menawarkan pakej haji ekonomi bernilai bawah RM50,000 sebagai salah satu inisiatif bagi membantu lebih ramai bakal haji untuk menunaikan ibadah haji dengan harga yang berpatutan. -TVS