KUCHING, 21 Nov: Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memberi galakan kepada anak untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, ia sekali gus menyokong aspirasi Kerajaan Sarawak untuk melihat anak tempatan melakar kejayaan dalam bidang pendidikan.
Menurutnya, di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, banyak perubahan berlaku dalam bidang pendidikan selain bantuan turut diberikan untuk membina masa depan lebih cerah.
“Selagi anak kita ada kemampuan untuk belajar ke peringkat tertinggi, beri sokongan kepada mereka mengikut kemampuan kita.
“Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, banyak perubahan drastik berlaku dalam bidang pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta Bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai di sini, hari ini.
Seramai 257 pelajar menerima insentif pendidikan pada majlis tersebut.
Sementara itu, Dr. Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menjelaskan, insentif pendidikan tersebut diberikan kepada pelajar secara berterusan.
“Ia sebagai tanda penghargaan kepada pelajar yang menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Pada masa sama insentif ini sebagai galakan supaya anak kita terus melakar keputusan cemerlang bermula dari peringkat sekolah rendah hingga ke tahap tertinggi,” ujarnya.-TVS